PETALING JAYA: Datuk Mohd. Sumali Reduan bakal menjadi presiden baharu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan hanya menunggu pengesahan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu bagi penggal 2022-2025,esok.
Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip) menang tanpa bertanding jawatan tersebut selepas Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah menarik diri.
Dalam pada itu, proses pengundian bagi mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan jawatankuasa PSM akan dijalankan secara telus.
Pengerusi yang dipilih untuk mengendalikan pemilihan tersebut terdiri daripada ahli badan bebas dan bukan anggota PSM atau lain-lain ahli gabungan.
“Proses undian akan dibuat secara telus dengan Pengerusi Pemilihan Jawatankuasa merupakan badan bebas dan bukannya daripada anggota PSM dan ahli gabungan.
“Saya berharap pengundian ini akan berjalan lancar dan akan dilakukan secara telus tanpa ada campur tangan daripada pihak luar,” kata Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jawatan naib presiden menyaksikan tiga nama disenaraikan iaitu Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang, Datuk Abu Jimi Samat dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA), Datuk Awang Sham Amit.
Bagi jawatan timbalan presiden menyaksikan dua calon membuat pengesahan iaitu Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan
Pada pemilihan penggal lalu, bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail yang melepaskan jawatan pada 5 Jun lalu menewaskan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran.
Sebelum ini, AGM membuat beberapa penambahbaikan perlembagaan selepas mengadakan perbincangan bersama Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) seperti tiada lagi undian secara angkat tangan dan ia akan dibuat secara sulit.