Solat tarawih ikut SOP sedia ada - Utusan Malaysia

Solat tarawih ikut SOP sedia ada

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA :  Prosedur operasi standard (SOP) bagi menunaikan solat di masjid dan surau ketika ini turut diguna pakai untuk pelaksanaan solat sunat tarawih menjelang bulan Ramadan nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, justeru tiada SOP yang dikhususkan untuk solat tarawih kerana masih menggunakan SOP yang sama.

“Tak ada SOP khusus, sama sahaja. Sama ada solat sunat tarawih atau tidak, SOP sama.

“SOP masih lagi berjalan sama ada sewaktu solat (surau dan masjid) atau di kedai makan dan sebagainya, ia perlu dan ikut peraturan dibuat Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita pada Pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini hari ini.

Berdasarkan SOP sedia ada di masjid dan surau Wilayah Persekutuan, penjarakan fizikal jemaah adalah 1 meter dengan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau manakala, untuk negeri-negeri pula tertakluk arahan daripada jabatan agama negeri.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung penyalahgunaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kalau ada laporan dan sebagainya, kita akan ambil tindakan. Pihak berkuasa kita bekerjasama dengan KPDNHEP,” ujarnya.

Semalam, pemilik kafe Tipsier Bridge Cafe Waronk yang terletak di kawasan tumpuan pelancong di negeri Melaka didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menggunakan perkataan halal tanpa perakuan Jakim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Joanne To Mei Ting, 30, didapati sebagai pemilik tunggal Tipsier Bridge Cafe Waronk memperakui bahawa makanan di kafe itu adalah halal dengan ungkapan perkataan tersebut pada lapan buku menu tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa.

Berhubung Pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, Idris berkata, ia diharap dapat memberi kesedaran dalam kalangan umat Islam supaya mengambil berat kepentingan solat dan kewajipannya.

Ujarnya, pelbagai program dan aktiviti sudah diatur dan ia akan diperluaskan ke negeri-negeri yang lain. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya