Sokong rakan perniagaan, Rosman taja kostum tarian singa - Utusan Malaysia

Sokong rakan perniagaan, Rosman taja kostum tarian singa

ROSMAN Mohamad (kanan) bersama Soh Ban Choon (kiri) menunjukkan kostum tarian singa yang telah ditaja Rosman di Lukut, Port Dickson. -UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Demi hubungan baik yang telah terjalin lebih 10 tahun, seorang ahli perniagaan Melayu memberikan sumbangan satu set kostum tarian singa kepada Persatuan Tarian Singa dan Naga Hong San Si Port Dickson Negeri Sembilan di sini sempena Tahun Baharu Cina.

Rosman Mohamad, 47, berkata, sumbangan berkenaan sebagai sokongan kepada rakan perniagaannya, Soh Ban Choon, 57, yang juga pengasas persatuan tersebut.

“Pada mulanya, mereka memohon tajaan bagi kostum singa tersebut bagi membuat persembahan sempena Tahun Baharu Cina. Saya memang berhubungan baik dan kami sentiasa sokong menyokong dalam perniagaan sudah lebih 10 tahun.

“Memandangkan anak-anaknya juga rapat dengan kakitangan saya, saya terbuka hati untuk menaja kostum seekor singa itu kepada persatuan mereka. Bagi saya, berlainan agama bukan satu halangan untuk saya memberi sumbangan, tidak kira apa perayaan sekalipun,” katanya ketika ditemui pemberita di Lukut di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini, anak-anak Ban Choon juga pernah memberi bantuan membaiki bumbung di sebuah surau.

“Mereka banyak membantu kami dan mereka pernah membaiki bumbung surau yang rosak sebelum ini. Pada perayaan Tahun Baharu Cina ini, saya pula membantu dia mendapatkan kostum singa bagi persembahan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ban Choon berkata, dia amat gembira dengan tajaan tersebut dan menganggap itulah sifat Keluarga Malaysia.

“Kami sentiasa membantu sesama sendiri. Saya ucapkan terima kasih kepada Rosman kerana menaja kostum singa tersebut bernilai RM2,000 yang amat bermakna kepada persatuan kami.

“Inilah keluarga Malaysia dan hidup dalam keadaan berbilang bangsa dan sering membantu satu sama lain,” katanya.

Persatuan Tarian Singa Dan Naga Hong San Si Port Dickson Negeri Sembilan bermula pada November tahun lalu dan kini mempunyai 46 peserta berusia enam hingga 22 tahun.

Persatuan yang memberi latihan secara percuma itu mahu memberi peluang kepada sesiapa yang berminat menyertai persatuan itu.

Seorang jurulatih tarian singa, Hoo Boon Yong, 34, dalam pada itu berkata, pihaknya telah menerima tempahan 19 lokasi untuk mengadakan persembahan sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya