SHAH ALAM: Skuad wanita negara terkandas di separuh akhir selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, sebentar tadi.
S. Kisona yang diletakkan selaku pemain perseorangan utama negara tewas kepada wakil Korea Selatan, Sim Yujin 16-21, 17-21.
Ketinggalan 0-1, Malaysia yang mengharapkan beregu, Valeree Siow-Pearly Tan dapat menyamakan kedudukan, namun, hampa apabila mereka tumpas kepada pasangan No. 14 dunia, Baek Ha Na-Seong Seung Yeon 15-21, 14-21.
Kekalahan tersebut meninggalkan pemain remaja berusia 18 tahun, Siti Nur Shuhaini Azman yang diturunkan untuk perseorangan kedua kian tertekan apabila Malaysia ketinggalan 0-2.
Berdepan pemain Korea Selatan yang lebih berpengalaman Nur Shuhaini berusaha memberikan tentangan, tetapi dia akhirnya tumpas kepada Lee Se Yeon dalam permainan yang berlanjutan ke rubber set 11-21, 21-15, 13-21.
Kemenangan pasukan wanita Korea Selatan itu menyaksikan mereka bakal turun menentang Indonesia dalam perlawanan akhir, esok selepas negara jiran tersebut diberi kemenangan percuma kerana Jepun menarik diri dalam satu lagi separuh akhir. – UTUSAN ONLINE