SHAH ALAM: Gandingan beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing memastikan Malaysia mara ke separuh akhir dan turut layak secara merit ke Piala Uber selepas menumpaskan India 3-2 dalam aksi Kumpulan Y pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, sebentar tadi.
Anna dan Mei Xing yang turun selaku beregu kedua tidak berdepan masalah untuk menang straight set 21-10, 21-12 ke atas pencabar dari India, Arul Bala Radakrishnan-Nila Valluvan dalam permainan yang hanya mengambil masa selama 24 minit.
Sebelum beregu No. 81 dunia itu turun ke gelanggang, Malaysia mendahului India 2-1, selepas skuad wanita negara meraih mata menerusi S. Kisona dan beregu, Veleree Siow-Pearly Tan.
Kisona yang berada di ranking ke-64 dunia itu dipaksa beraksi sehingga ke set penentuan sebelum menang 16-21, 21-18, 21-16 ke atas Aarkashi Kashyap untuk mengutip mata pertama Malaysia.
Veleree-Pearly yang turun membawa misi wajib menang seperti dijangka tidak berdepan masalah untuk menjadikan kedudukan 2-0 apabila mereka menundukkan pasangan India, Khushi Gupta-Mehreen Riza 21-1, 21-6.
Bagaimanapun, dalam aksi perseorangan wanita kedua, Malaysia yang mempertaruhkan pemain remaja, Siti Nurshuhaini Azman tewas kepada Ashmita Chaliha 11-21, 19-21 yang sekali gus membuka laluan kepada India merapatkan jurang mata kepada 2-1.
Harapan menggunung yang diletakkan ke atas Anna dan Mei Xing untuk memastikan Malaysia mengesahkan slot separuh akhir lebih awal tanpa meninggalkan beban ke atas pemain muda, Myisha Mohd Khairul yang diletakkan sebagai perseorangan ketiga menepati sasaran apabila pasangan itu menjadikan kedudukan 3-1.
Myisha, 20, yang turun sebagai pemain perseorangan ketiga Malaysia tumpas 16-21, 15-21 untuk menutup aksi skuad negara menang ke atas India 3-2.
Mei Xing ketika ditemui pemberita selepas perlawanan melahirkan rasa gembiranya dapat membantu Malaysia yang bukan sahaja mara ke separuh akhir BATC, tetapi turut layak secara merit ke Piala Uber yang akan diadakan di Bangkok, Thailand, Mei ini.
“Perlawanan hari ini tidak sukar, kami hanya fokus mata demi mata untuk melakar kemenangan.
“Kami tahu permainan kami lebih baik berbanding lawan dan tidak memberi fokus sangat kepada taktik kerana yang penting adalah pungutan mata,” katanya.
Mei Xing berkata, dapat membantu Malaysia melayakkan diri ke Piala Uber merupakan satu pengalaman amat bermakna buatnya dan Anna.
“Lebih baik kami layak secara merit berbanding berdasarkan kedudukan ranking,” ujarnya.
Ketika ditanya pasukan yang ingin ditemuinya pada separuh akhir, pemain berusia 25 tahun itu memberitahu, dia lebih selesa jika dapat bertemu semula dengan Jepun ataupun Indonesia kerana Korea Selatan pada pandangannya memiliki kelebihan di bahagian perseorangan.