SHAH ALAM: Skuad wanita Indonesia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 setelah menewaskan Korea Selatan 3-1 dalam pertembungan akhir di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, sebentar tadi.
Indonesia mengutip mata pertama menerusi perseorangan mereka, Gregoria Mariska Tunjung yang menundukkan Sim Yujin 21-9, 21-10 dalam masa 26 minit.
Korea Selatan, bagaimanapun, menyamakan kedudukan menjadi 1-1 selepas beregu No. 14 dunia, Baek Ha Na-Seong Seung Yeon mengetepikan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-15, 14-21, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung selama lebih sejam.
Indonesia yang mempertaruhkan Putri Kusuma Wardani selaku perseorangan kedua menundukkan Lee Se Yeon 21-10, 21-18 untuk kembali memintas dengan kedudukan 2-1.
Pasukan dari negara jiran itu akhirnya memastikan gelaran berpasukan wanita menjadi milik mereka setelah beregu Nita Violina Marwah-Lanny Tria Mayasari menumpaskan pasangan, Kim Min Ji-Park Min Jeong 23-21, 21-11. – UTUSAN ONLINE