Skuad lelaki turut mara ke separuh akhir - Utusan Malaysia

Skuad lelaki turut mara ke separuh akhir

Aidil Sholeh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasukan lelaki negara turut mengiringi skuad wanita mara ke separuh akhir dan mengesahkan secara merit layak ke Piala Thomas selepas Malaysia yang mempertaruhkan barisan muda tidak berdepan masalah menundukkan Kazakhstan 5-0 dalam aksi Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, sebentar tadi.

Mata pertama Malaysia diraih menerusi Aidil Sholeh Ali Sadikin yang menggalas tanggungjawab sebagai pemain perseorangan pertama.

Pemain yang menghuni ranking ke-112 dunia itu kelihatan agak gementar pada awal aksi sebelum anak muda berusia 22 tahun tersebut kembali mendapat rentak untuk menundukkan perseorangan pertama Kazakhstan, Artur Niyazov 21-11, 21-12.

Aidil ketika ditemui pemberita selepas perlawanan mengakui pada awal permainannya dia berasa tidak selesa kerana gementar kali pertama diberi kepercayaan untuk beraksi.

“Ini kali pertama saya diturunkan dalam acara berpasukan dan dalam stadium yang besar.

“Keadaan stadium yang berangin menyebabkan saya memerlukan masa untuk sesuaikan diri lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong yang ramai,” katanya.

Mengakui lambat mendapatkan momentum, Aidil memberitahu, selepas mengutip mata ke-11 pada set pertama barulah dia mula berasa selesa dengan permainan dan juga gelanggang.

Selepas kemenangan Aidil, seorang lagi pemain seusianya iaitu Lim Chong King yang menghuni ranking ke-167 dunia membantu skuad negara mengutip mata kedua setelah menang 21-11, 21-11 ke atas Kulmatov Khaitmurat.

Perseorangan ketiga Malaysia, Kok Jin Hong, 20, memastikan kemenangan 3-0 menjadi milik negara apabila pemain No. 237 dunia itu mudah mengetepikan cabaran Makhsut Tajibullayev 21-8, 21-4 hanya dalam masa 20 minit.

Bagi memberi laluan kepada Tajibullayev berehat kerana dia turut bermain dalam aksi beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diletakkan sebagai beregu kedua Malaysia turun terlebih dahulu ke gelanggang sebelum Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.

Pasangan No. 45 dunia itu hanya memerlukan masa selama 17 minit untuk mengalahkan gandingan Kazakhstan, Jangir Ibrayev-Ilya Lysenko 21-5, 21-5.

Beregu No. 17 dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin yang muncul satu-satunya pemain senior beraksi dalam perlawanan menentang Kazakhstan itu mudah menewaskan Andrey Shalagin-Makhsut Tajibullayev 21-8, 21-4 dalam masa 15 minit.

Nur Izzudin ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, aksi kedua menentang Kazakhstan, hari ini lebih mudah berbanding bertemu beregu Singapura.

“Perlawanan pertama biasanya memang sukar kerana kami baru nak menyesuaikan diri dan hari ini, bertemu Kazakhstan kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk menang.

“Apa yang lebih penting ialah perlawanan menentang Jepun, esok. Beregu Jepun memiliki permainan yang laju, jadi, fokus kami lebih kepada aksi menentang Jepun,” katanya.

Kejayaan tersebut menyaksikan Malaysia memastikan tempat ke Piala Thomas yang akan diadakan Bangkok, Thailand Mei ini benar-benar terjamin, walaupun ranking dunia turut berupaya mengesahkan tempat skuad kebangsaan ke kejohanan berprestij itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya