KLUANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali menjadi calon pertama yang diumumkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak lama lagi.
Nama Naib Pengerusi DAP itu diumumkan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahan kerusi Paloh yang dimenangi buat pertama kali pada 2018.
Guan Eng berkata, pemilihan Sheikh Umar, 36, bukan kerana rekod kemenangan beliau dalam Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sahaja tetapi prestasi semasa menjadi Exco kerajaan negeri.
Katanya, pencalonan semula Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dengan harapan PH akan mendapat mandat semula menjadi kerajaan bagi membawa pembaharuan di Johor.
“Sebagai calon mewakili PH, Sheikh Umar menunjukkan Paloh adalah paluan gendang pertama untuk PRN Johor yang mana kita umumkan niat untuk berkhidmat untuk rakyat dan negeri Johor supaya kita ada harapan lebih baik.
“Dengan matlamat bukan sahaja untuk menang kerusi DUN ini tetapi juga berjaya menjadi kerajaan negeri Johor supaya beliau boleh kembali sekali lagi sebagai exco kerajaan negeri Johor,” katanya ketika melancarkan Bilik Gerakan Pilihan Raya dan pengumuman Calon Pakatan Harapan N.30 DUN Paloh di pejabat ADUN Paloh di Jalan Abu Bakar, di sini hari ini.
Guan Eng berkata, pihaknya juga akan mengunakan logo Pakatan Harapan (PH) bersama dengan semua parti parti yang sehaluan dengan PH.
“Saya percaya butiran lanjut tentang manifesto dan sebagainya akan diumumkan selepas penamaan calon, kita umum lebih awal sedikit,” katanya.
Sementara itu, Sheikh Umar mengakui pencalonan beliau dilihat bukan perkara yang mudah, namun percaya dengan semangat dan komitmen jentera dalam mempertahankan kerusi itu.
“Saya bercampur-campur perasaan, nak kata gembira pun boleh jadi juga, nak kata panik pun ya juga tetapi saya rasa kuat dan bersemangat di sini kerana ada rakan-rakan pemimpin yang membantu,” katanya.
Sheikh Umar dilihat berdepan laluan sukar di Paloh apabila hanya meraih 783 majoriti undi mengatasi pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Teoh Yap Kun pada PRU-14.
Beliau mendapat 8,958 undi, manakala Yap Kun pula 8,175 undi sementara seorang calon bebas, M. Shamugam yang menggunakan simbol gajah telah hilang wang deposit apabila hanya memperoleh 61 undi.
Jika mengikut perkiraan politik, kemenangan di bawah majoriti 1,000 undi dianggap tidak selamat bagi seseorang penyandang sama seperti yang dialami Yap Kun pada PRU-13 apabila beliau hanya menang dengan majoriti 103 undi. – UTUSAN ONLINE