KEMAMAN: Selepas dua ekor penyu terdampar mati di Pantai Kijal, di sini dua minggu lalu, hari ini seekor lagi bangkai reptilia marin berkenaan ditemukan di lokasi sama.
Pemajak telur, Roslan Muhammad, 54, berkata, bangkai anak penyu betina itu ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi sebelum ini, pada pukul 8.30 pagi.
Katanya, kejadian berkenaan disedari ketika melakukan aktiviti mengutip telur dan terkejut melihat penyu terdampar di pasir.
“Saya ingatkan penyu itu masih hidup kerana tiada kecederaan teruk, tetapi apabila diperiksa, rupa-rupanya telah mati.
“Penyu berusia kira-kira dua tahun ini mungkin mati kerana terperangkap dalam pukat dan ada kesan retak pada kepalanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Roslan yang menjadi pemajak lebih 15 tahun lalu berkata, penemuan tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak perikanan sebelum mengambil inisiatif menanam penyu itu. – UTUSAN