KOTA BHARU : Selangor Piston menutup aksi minggu keenam Premier kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) dengan kemenangan apabila bangkit menumpaskan Putrajaya Cyborg 2-1 pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Kompleks Sukan Panji di sini, sebentar tadi.
Turun dengan misi mahu menang, kedua-dua pasukan menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai perlawanan.
Bagaimanapun, Putrajaya Cyborg terlebih dahulu mengemudi perlawanan dengan mendahului pungutan mata pada kedudukan 8-6.
Selangor Piston kembali bangkit merapatkan jurang pungutan mata sehingga memaksa Putrajaya membawa masuk tekong berpengelaman Farid Aziz untuk memperkasakan lagi pasukan bagi menggantikan Syahril Rosdi.
Aksi bertambah sengit selepas itu apabila Pu hanya berkelebihan satu mata iaitu 17-16 pada satu ketika.
Selepas itu, giliran Selangor Piston pula membuat pertukaran apabila membawa masuk Zuhri Zin yang masuk menggantikan Haziq Hairun Nizam di posisi tekong kembali mengikat kedudukan menjadi 18-18 sekaligus meredakan ‘bahang’ panas aksi itu.
Putrajaya Cyborg berjaya menutup aksi set pertama dengan kemenangan 21-19 untuk memberikan kelebihan sebelum aksi kembali disambung selepas ini.
Set kedua, Putrajaya Cyborg terus ‘bernafsu’ memburu kemenangan apabila bergerak laju meninggalkan lawan pada kedudukan 9-5.
Aksi berbalas-balas mata terus disajikan oleh kedua-dua pasukan sekaligus menyaksikan mereka terikat 12-12 sebelum Putrajaya Cyborg kembali bangkit untuk terus maju bergerak ke angkat 15.
Selangor Piston kembali bangkit untuk mengheret aksi ke set penentuan menerusi kemenangan 21-17 dalam aksi penuh sengit dalam tempoh 27 minit.
Set penentuan Selangor Piston mempamerkan taring sebenar apabila jauh meninggalkan Putrajaya Cyborg pada kedudukan 11-4.
Putrajaya Cyborg terus tenggelam dengan aksi konsisten Selangor Piston yang menyaksikan mereka ‘rebah’ dengan kiraan 14-21.
Kemenangan itu pastinya menyuntik semangat Selangor Piston untuk bebas daripada kelompok bawahan liga.