Bercakap soal bakat dan kebolehan, Shiha Zikir antara yang muncul di fikiran. Saya pasti, ada yang bersetuju dengan apa yang saya perkatakan.
Pada saya, Shiha hadir dengan pakej lengkap. Kemerduan suara berserta bakat lakonan dan pengacaraan. Kecantikan? Sudah semestinya.
Tidak ramai sepertinya. Semua itu keistimewaan. Boleh kata, dia ‘tapau’ semua.
Tapi, luaran kita lihat semua elok sahaja. Hakikatnya, dia memendam seribu duka.
Allah SWT hadirkan ujian kepadanya. Dia menjadi sasaran. Subjek kecaman mata-mata yang berdengki.
Kita lihat dia bergelak ketawa. Menghiburkan. Di sebaliknya, terpendam kekecewaan. Yang tahu, hanya dia dan Tuhan.
Ketika menghubunginya baru-baru ini, saya minta dia ceritakan. Kisah tentang hidup penuh kecaman. Dia tidak menolak, malah terbuka berkongsi luahan.
“Saya sudah puas menangis. Ada sahaja yang cakap buruk tentang saya. Rakan satu industri, apatah lagi.
“Ada yang menelefon, ingatkan saya supaya cermin muka sendiri. Minta saya sedar diri. Bukan tak ada, ada.
“Saya diamkan sahaja. Tak cerita pada sesiapa. Mungkin dulu saya balas. Sekarang, tidaklah. Biarkan sahaja,” luahnya.
Terdiam saya. Pendedahan itu buat saya tergamam. Saya terfikir, apa salah Shiha?
Namun tegasnya, apa yang dilalui sebenarnya mematangkan. Kini dia lebih kuat berdepan fitnah dan kecaman.
“Bersedih? Itu perkara biasa. Saya manusia, hadap komen orang adakalanya membawa kemurungan.
“Tapi adakah saya berputus asa? Tidak. Saya tak penat hadap ini semua.
“Alhamdulillah. Saya sekarang tak mudah simpan dalam hati. Komen negatif saya buang jauh. Pandang pun tidak,” katanya.
Kampung? Mungkin sebab tak seksi
Saya ada mendengar cakap-cakap orang, yang melabel Shiha Zikir seorang artis kampung.
Saya ambil peluang bertanyakan soal itu kepada Shiha. Benarkah dia artis kampung? Yang jadilah semoden mana sekalipun, tetap dipandang sedemikian.
“Saya okay, lagi bangga adalah. Kalau ada yang kata saya kampung, itu pandangan mereka.
“Lebih baik bukan? Daripada berpura-pura. Semata-mata untuk dilihat moden di mata orang,” katanya.
Shiha tidak menolak, kemungkinan cara berpakaian membuatkan orang memandangnya seperti itu.
Katanya, jika itulah antara sebabnya, dia terima. Kerana seadanya dia, seksi itu bukan dirinya.
“Itu adalah saya, sejak dulu. Saya bukan jenis yang mendedahkan dalam berpakaian. Itu ketetapan saya.
“Tentang imej dan pakaian, saya ada garis panduan. Saya akan maklumkan, baik pereka fesyen mahupun penaja pakaian. Saya beritahu awal.
“Kalau boleh saya sentiasa mahu berlengan panjang, kalau pendek pun masih menutup lengan. Saya tak pakai skirt pendek, ada pun mesti menutup lutut,” katanya lagi.
Sebar kebaikan
Bagi bintang ini, kesukaran perjalanan hidupnya tidak boleh disimpan seorang diri. Perlu dikongsi untuk menjadi motivasi kepada orang lain.
Kata Shiha, dia lega kerana diberi peluang untuk bercerita dan mendengar cerita peminat yang turut berdepan situasi sama, dikecam dan dikutuk orang. Padanya, dengan cara itu, dia dapat membantu dan menyebarkan kebaikan.
“Bila saya lalui sesuatu kesukaran. Saya akan kongsikan pengalaman-pengalaman itu. Saya ada cerita pada rakan-rakan. Mereka terkejut. Kata mereka, sampai macam itu orang cakap engkau?
“Yang saya hadap sampai sekarang, cakap-cakap orang yang memedihkan, Saya kongsikan. Niat saya, tak mahu orang lain yang melalui jalan yang sama, berputus asa.
“Saya percaya kalau dahulu saya putus asa, saya tidak akan berada pada tahap yang sekarang,” katanya.
Ujar penyanyi lagu AEWO dan Irama ini, biarlah cerita pahit kehidupannya menjadi teladan. Kerana baginya, setiap apa yang dikongsi itu boleh menjadi manfaat untuk membantu yang lain.
“Rezeki masing-masing, perjalanan berbeza. Mungkin ada artis lain buat satu lagu, popular di media sosial dan meletup-letup dalam industri.Tapi seorang Shiha Zikir perjalanannya susah.
Bukanlah nak kata saya seorang sahaja yang hadap kesusahan ini. Mungkin ramai lagi yang lebih susah.
“Cuma saya nak berkongsi cerita sebab saya suka menaikkan semangat orang. Jangan cepat putus asa. Apa yang engkau orang nak boleh dicapai.
“Saya nak menjadi seseorang yang boleh memberi motivasi kepada orang lain. Yakinkan mereka, jangan bersedih. Biarlah apa orang nak kata apa. Jadi saya akan live di media sosial. Buat kumpulan Telegram. Semata-mata nak dekat dengan peminat. Bagi mereka semangat,” ujarnya.