LONDON : Max Verstappen menegaskan kemenangan kontroversi kejuaraan Formula Satu (F1) hanyalah sebagai satu ganjaran untuk musim yang ‘benar-benar malang’ namun dia sememangnya layak bergelar juara.
Pelumba Red Bull itu berjaya menafikan kemenangan Lewis Hamilton untuk merangkul rekod kemenangan kelapannya sebagai juara dunia selepas pengarah perlumbaan Michael Masi mencetuskan kontroversi apabila gagal mematuhi peraturan kereta keselamatan dengan betul pada perlumbaan terakhir.
Masi tidak menghiraukan peraturan apabila membiarkan Verstappen memintas Hamilton pada pusingan terakhir di Grand Prix Abu Dhabi sekali gus mengesahkan kejuaraan pada perlumbaan terakhir musim lalu.
Berasa tidak adil dengan keputusan itu, Hamilton memberi bayangan untuk bersara daripada sukan berkenaan.
Verstappen bagaimanapun menegaskan dia telah mendominasi kempen 2021 dan hanya gagal merangkul gelaran lebih awal kerana ditimpa musibah, selain menafikan kemelut di Abu Dhabi itu menyebabkan dia berasa kejayaan itu tidak diiktiraf.
“Tidak sama sekali. Saya berdepan musim yang sangat baik dan saya fikir saya benar-benar layak.
“Orang ramai sentiasa mengingati perlumbaan terakhir tapi jika anda lihat keseluruhan musim, kejuaraan sepatutnya ditentukan lebih awal.
“Bagi saya sukar untuk membayangkan diri saya dalam situasi itu kerana saya bukan juara dunia tujuh kali,” ujar pelumba berusia 25 tahun itu. – AGENSI