PETALING JAYA: Seruan kerajaan supaya semua pihak dapat mempermudah sasaran Satu Keluarga Satu Rumah tepat pada masanya memandangkan aspek pemilikan perumahan memerlukan kerjasama semua sama ada kerajaan, pemaju dan institusi kewangan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, semua pihak perlu berganding bahu memainkan peranan agar setiap rakyat di negara ini memperoleh tempat berlindung dengan memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, pengumuman kerajaan itu khususnya berkaitan aspek pembiayaan secara langsung dapat menyelesaikan kekangan dan ketidakmampuan golongan M40 dan B40 membeli rumah kerana masalah kewangan.
“Daripada pihak berkuasa, mereka perlu menyediakan tanah di samping insentif dalam pembangunan projek perumahan manakala pemaju pula berhubung penerokaan mereka terhadap kos projek lebih efektif manakala institusi kewangan menawarkan pembiayaan tidak membebankan pembeli.
“Namun paling utama adalah pelaksanaan dan kerjasama bagi memastikan hasrat kerajaan terhadap Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan demi kebaikan rakyat khususnya golongan M40 dan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak 2020,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesa semua pihak memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.
Soal itu termasuk meminta Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan bagi memastikan institusi kewangan mempermudah pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah program perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik.
Selain itu, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudah pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga berpatutan.
Mengulas kebimbangan berhubung kos bahan binaan, Ahmed Razman berkata, perkara itu diakui berlaku namun perkara utama perlu diatasi segera adalah kekangan rakyat yang tidak dapat membeli kediaman berpunca daripada pembiayaan terlalu tinggi.
Justeru, kata beliau, perlu ada alternatif pembiayaan dengan melibatkan kerjasama Bank Negara dan institusi kewangan.
“Selain Skim Perumahan Belia dan Program Rent To Own (Sewa untuk dimiliki), mungkin boleh dilaksanakan konsep pembiayaan Musharakah Mutanaqisah atau pemilikan bersama yang membolehkan pembeli berpotensi memiliki rumah berkenaan selepas satu tempoh tanpa melibatkan unsur faedah atau riba,” jelasnya.
Katanya, ini bermakna pihak bukan berasaskan keuntungan seperti koperasi dan syarikat berkaitan kerajaan boleh memajukan projek perumahan dan menawarkan jualan pada nilai pasaran tanpa mengenakan kadar bunga.
“Saban tahun kerajaan sentiasa memikirkan soal pemilikan kediaman dalam kalangan pembeli, namun paling penting kerjasama untuk melaksanakan dasar yang membantu rakyat,” katanya. – UTUSAN