KUCHING: Sarawak menyasarkan 50 peratus kanak-kanak daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 penghujung bulan ini.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran itu akan dipercepatkan bagi memastikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka tidak terjejas.
“Ini adalah salah satu cara untuk kita meningkatkan imuniti dalam kalangan kanak-kanak supaya sistem persekolahan berjalan seperti biasa, sekali gus menjamin keselamatan kepada mereka apabila di sekolah.
“Malah, kita juga tidak mahukan mereka ketinggalan sesi persekolahan mereka dan sekiranya kita tidak mengusahakan untuk memberi jaminan keselamatan kepada mereka, ianya boleh menjejaskan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Kanak-Kanak di Klinik Kota Sentosa, Kuching di sini hari ini.
Bagaimanapun, Abang Johari tidak menafikan masih ada dalam kalangan ibu bapa yang masih ragu-ragu mendapatkan suntikan vaksind Covid-19 kepada anak mereka.
“Maka saya berharap, ibu bapa ini mereka menyahut seruaan kerajaan dalam memastikan anak-anak mereka untuk disuntik kerana kalau tidak mereka akan tidak dapat ke sekolah.
“Kementerian Kesihatan sudah tentu menjalankan banyak kajian dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah termasuk guru-guru dan juga Jabatan Pendidikan yang telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk meneruskan usaha program kita memberikan vaksin kepada anak-anak kita,” ujarnya.
Setakat Februari lalu, Sarawak telah mencapai 92 peratusan individu dewasa (18 tahun ke atas) menerima suntik dos kedua bersamaan seramai 1,826,435 orang, manakala 88.7 peratus bagi individu 18 tahun ke bawah.
Bagi dos penggalak pula, sejumlah 84 peratus populasi Sarawak telah menerima suntikan vaksin.
Tambah Abang Johari lagi, kerajaan negeri akan terus memberikan pelbagai bantuan bagi menjayakan program vaksinasi kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun di negeri berkenaan.-UTUSAN.