Sarawak lancar skim bantuan perumahan bantu golongan B40, M40 - Utusan Malaysia

Sarawak lancar skim bantuan perumahan bantu golongan B40, M40

ABANG Johari Tun Openg menandatangani plak simbolik pelancaran Skim Bantuan Deposit Perumahan di UCSI Hotel, Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak hari ini melancarkan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) yang memberi peluang kepada golongan B40 dan M40 di negeri ini memiliki kediaman sendiri.

Menurut Ketua Menteri,  Tan Sri Abang Johari Tun Openg melalui skim khas itu kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan deposit sebanyak 10 peratus atau maksimum RM10,000 untuk deposit pembelian rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama.

“Ini adalah skim seumpamanya yang julung kali diperkenalkan di negara ini untuk membantu rakyat kita dalam golongan berpendapatan rendah,” katanya ketika berucap melancar skim berkenaan di sini hari ini.

HDAS, menurut Abang Johari akan diurus oleh Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd (Mutiara Mortgage) sebagai salah satu platform untuk meluaskan akses pembiayaan perumahan mampu milik kepada rakyat Sarawak.

Beliau berkata, HDAS turut diperluaskan bagi pemilik tanah yang ingin membina rumah di atas tanah sendiri, tetapi milikan tanah mestilah tanah yang diperuntukkan oleh Jabatan Tanah dan Survei di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS).

Bagi proses ini, beliau berkata peserta boleh menghubungi atau membuat permohonan terus di pejabat Mutiara Mortgage.

Untuk inisiatif membina rumah di atas tanah sendiri, Mutiara Mortgage akan memperkenalkan Program Rumah Spektra Mutiara iaitu kos pembinaan rumah akan dibiayai oleh Mutiara Mortgage melalui produk Mutiara Dream Home Financing Scheme (MDHFS).

Reka bentuk rumah yang standard dan telah ditetapkan, selesa, mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan berkeluasan minimum 750 kaki persegi.

Harga kos pembinaan dianggarkan berjumlah sekitar RM90,000 hingga RM160,000 yang akan dibiayai melalui pembiayaan perumahan dengan Mutiara.

“Dengan adanya inisiatif-inisiatif seumpama ini, ia amat membantu rakyat Sarawak meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah (nett disposable income), sekali gus meningkatkan nilai kekayaan (wealth creation) masing masing.

“Penduduk di luar bandar turut diberi perhatian khusus agar tidak terpinggir dalam proses transformasi ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya pembeli rumah generasi muda turut sama menikmati kemudahan dalam urusan membeli rumah dengan adanya skim bantuan deposit dan kadar keuntungan pembiayaan yang amat rendah berbanding dengan pinjaman perumahan oleh pihak bank komersial.

Dari segi tempoh pembiayaan pula, jelasnya, jika mereka dapat membeli rumah pada usia muda, maka bayaran bulanan menjadi lebih rendah kerana tempoh pembayaran yang lebih panjang.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga telah memperkenalkan Sarawak Rental Assistance Scheme (SRAS), iaitu skim bantuan sewa kediaman sebanyak RM200 sebulan selama 36 bulan.

SRAS kini dibuka kepada mereka yang kini menyewa di sekitar bandar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Skim ini juga dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 20,000 isi rumah yang layak terutamanya golongan berpendapatan rendah dan terkesan disebabkan pandemik Covid-19.

Abang Johari berkata, skim  tersebut  juga dapat membantu menangani isu kemiskinan bandar dan masalah setinggan kerana ia dapat mengurangkan beban kos sara hidup para penerima faedah.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat memahami dan sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan selesa serta mampu milik bagi memenuhi keperluan tempat kediaman semua golongan rakyat di Sarawak terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Matlamatnya adalah untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat di setiap pelosok negeri dan memastikan rakyat di Sarawak tidak tertinggal daripada menikmati kepesatan arus pembangunan negeri dan memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti,” katanya.

Abang Johari berkata semasa menjadi Menteri Perumahan Sarawak sebelum ini, beliau telah menubuhkan Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd (Mutiara Mortgage untuk menjadi agensi pembiayaan alternatif pilihan bagi rumah mampu milik dan Mutiara Mortgage merupakan sebuah syarikat milikan penuh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memperkasakan usaha Mutiara Mortgage seperti memperkenalkan Pakej Pembiayaan Perumahan patuh syariah yang komprehensif.

“Pakej ini telah mendapat Pensijilan Pematuhan Shariah sejak 1 Januari 2021 dan turut diiktiraf oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), melayakkan pelanggan untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka bagi tujuan pengeluaran deposit perumahan, bantuan bayaran bulanan dan pengurangan baki pembiayaan,” kata beliau.

Di samping itu, katanya kemudahan pembiayaan perumahan yang ditawarkan layak mendapat pengecualian duti setem di bawah Akta Setem 1949.

Menurut Abang Johari, sehingga kini seramai 1112 pemohon dengan pembiayaan berjumlah RM63 juta telah diluluskan permohonan pembiayaan mereka dibawah Skim Pembiayaan Perumahan Mutiara dengan kadar keuntungan yang ditawarkan serendah satu peratus dan margin pembiayaan sehingga seratus peratus.

Katanya, 81 peratus daripada jumlah ini merupakan golongan berpendapatan rendah/tidak tetap yang bekerja dengan syarikat swasta atau bekerja sendiri.

“Alhamdulillah, tiada rekod tunggakan kutipan bayaran bulanan pembiayaan perumahan setakat ini.

“Ini membuktikan bahawa pelanggan Mutiara Mortgage rakyat Sarawak amat menghargai inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak, mereka merupakan pelanggan/peminjam yang amat bertanggung jawab dan memahami nilai rumah kediaman yang perlu dijaga,” ujarnya.

Ini, katanya, dengan jelasnya menunjukan kerajaan GPS sentiasa berusaha memastikan semua langkah yang telah dirancang dan dilaksanakan akan memberi manfaat kepada golongan sasar.

Katanya, pembangunan akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita berjaya melakukan agihan kemakmuran secara saksama selaras dengan tanggungjawab untuk merealisasikan visi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya