KUALA LUMPUR: Jika Kedah memiliki kewangan yang kukuh, mereka mampu mengatasi gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Malaysia (Liga M) 2022.
Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mencabar Harimau Selatan yang telah mengungguli Liga Super lapan musim berturut-turut adalah sasaran utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tahun ini.
Katanya, skuad Hijau Kuning itu juga akan kembali dikenali sebagai Sang Kenari, sekali gus bakal mengimbau zaman kegemilangan mereka.
Gelaran Lang Merah yang diberikan kepada mereka sebelum ini akan digunakan untuk pasukan di bawah KFA.
“Kita mempunyai resepi adunan yang cukup hebat. Orang Kedah ini kalau kata pulun itu memang habislah, tak ada apa dah halangan di depan. Tinggal lagi masalah itu saja (kewangan).
“Saya kata kewangan ini macam garamlah, dia punya cita rasa cukup cantik. Saya rasa JDT bukan lawan kita kalau cukup (dana). Sasaran kita untuk atasi JDT tahun ini, Insya-Allah, bukan mustahil. Kita akan jadi juara Liga Super,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memperkenalkan penaja dan rakan rasmi KDA FC musim 2022 di sini, semalam.
Dalam pada itu, Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, selepas dua tahun berturut-turut bergelar naib juara, sasaran utama Kedah kali ini adalah merampas kejuaraan Liga Super.
“Kita cuba sasarkan juara liga dan salah satu pertandingan sama ada Piala FA atau Piala Malaysia, (sekurang-kurangnya) satu piala.
“Kita sudah dua tahun di kedudukan kedua, jadi mungkin ada peningkatan dan itu biasa dalam sebarang industri pun.
“Tahun ini, Insya-Allah berkat dokongan Datuk Seri (Muhammad Sanusi) dan semua penyokong Kedah kita nak pulun habis-habisan.
“Kita nak menang sebanyak mungkin perlawanan dan pastikan mencapai rekod cemerlang,” katanya.