PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan saman yang difailkan oleh ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit terhadap Kerajaan Malaysia dan pasukan polis, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Tuntutan saman itu difailkan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen terhadap Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; dan Kerajaan Malaysia.
Wanita itu mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya yang ketika itu berusia 18 tahun.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam yang bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Ghazali Cha sebulat suara membenarkan rayuan Christina dan memerintahkan saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar.
Peguam Datuk SN Nair, yang mewakili Christina ketika dihubungi pihak media berkata, panel tersebut membenarkan rayuan anak guamnya tanpa membuat sebarang perintah berhubung kos.
Pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu atas alasan penyataan tuntutannya tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Christina, 58, memfailkan saman pada 20 November 2020 dengan mendakwa, anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika, iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau berkata, defendan membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut pada 7 Disember 2017 dan menutup kes itu, selepas merumuskannya sebagai mati mengejut atau bunuh diri.
Christina berkata, beliau tidak dapat menerima rumusan itu kerana perkara tersebut amat sukar dipercayai dan terkejut dengan tindakan defendan yang hanya membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut.
Oleh yang demikian, beliau mendakwa tindakan defendan ialah perlanggaran jelas prosedur operasi standard dan amalan terbaik dalam siasatan polis.
Beliau juga berkata, Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan agar satu inkues diadakan bagi menentukan punca kematian anaknya.
Bagaimanapun, pada 8 Mac 2019, Koroner Mahyon Talib memutuskan kes itu sebagai satu ‘insiden malang.’
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Christina mendakwa, polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barang peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy.
Pada 22 November 2019, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan rayuannya dan mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner.
Beliau menggantikannya dengan ‘kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali’ dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan.-UTUSAN ONLINE