PETALING JAYA: Polis menyenaraikan nama usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat sebagai individu dikehendaki bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat pada kad pengenalan.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Nur Sajat yang juga saksi dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 22 Februari ini.
Kata kenyataan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial masih dalam usaha mengesan saksi bagi perbicaraan di Mahkamah Ampang.
“Saksi iaitu Muhammad Sajjad beralamat terakhir di Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya, Selangor dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Nur Sajat atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mastura Abdul Basher di talian 018-2053955,” jelas kenyataan itu.
Nur Sajat sebelum ini ditahan imigresen Thailand pada 8 September tahun lalu, kerana memiliki pasport tidak sah.
Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, namun dibebaskan keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan, selain diarah melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari.
Ketika berada di Thailand, dia menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia.
Dia mengesahkan dirinya kini sudah berhijrah ke Australia dengan bantuan kerajaan negara itu ketika sesi ‘live’ di media sosial miliknya. – UTUSAN ONLINE