SEREMBAN: Walaupun sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Roslan Hamzah, 54, terus berusaha untuk ilmu dan kini dia memiliki Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Urut Terapeutik dan Penjagaan.
Kesungguhannya itu membolehkan dia merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Kasih Anana Pro-Skill Institute sempena Majlis Konvokesyen Persekutuan Pusat-pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (FeMAC) Zon Tengah ke-4 Tahun 2022 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai hari ini.
Menurut Roslan, dia mempunyai pengalaman selama lebih 32 tahun dalam bidang urutan saraf yang diwarisinya secara turun-temurun daripada keluarganya.
“Pada tahun 2005, saya berhenti kerja dan meneruskan niat mencari rezeki menerusi bidang urutan. Tangan saya yang dahulunya bernilai RM5 sejam kini pernah mencecah sebanyak RM1,000 sejam bagi pelanggan yang benar-benar berpuas hati dengan perkhidmatan urutan yang diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Pada majlis konvokesyen tersebut, seramai 280 graduan daripada lima pusat bertauliah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menerima sijil dan diploma masing-masing yang disampaikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Sementara itu, ujar Roslan lagi, ilmu yang diperolehnya sepanjang pembelajaran bagi mendapatkan DKM itu akan dimanfaatkannya sebaik mungkin untuk memberi penerangan kepada pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Pelanggan ini ada macam-macam, ada yang mahu mengetahui sakit yang mereka alami secara saintifik dan saya mampu memberikan keterangan yang mereka mahukan. Kini, mereka hanya perlu menunjukkan laporan perubatan dan saya akan memberi penjelasan terhadap terma-terma saintifik berkenaan.-UTUSAN