Pulau Pinang siap sedia hadapi gelombang perebakan Omicron  - Utusan Malaysia

Pulau Pinang siap sedia hadapi gelombang perebakan Omicron 

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersiap siaga menghadapi gelombang perebakan Covid-19 varian Omicron berikutan lonjakan jumlah kes Covid-19 di negeri ini. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan negeri (JKNPP) memaklumkan peningkatan kes di Pulau Pinang dalam tempoh seminggu ini adalah dijangkakan yang mana kini berlakunya perebakan gelombang Omicron dalam komuniti.

“Sehingga kini, kes-kes yang dilaporkan adalah membabitkan kategori 1 serta kategori 2A dan jumlah kemasukan ke hospital masih dalam keadaan terkawal.  Walaupun terdapat peningkatan pesakit ke Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), jumlahnya masih terkawal dan pemantauan lanjut diteruskan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Pulau Pinang hari ini merekodkan sejumlah 1,010 kes Covid-19, menjadikan kumulatif kes kepada 173,120 kes dengan 1,784 kematian. 

Menurut Kon Yeow, sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 21 kluster aktif dengan pecahan mengikut sektor iaitu empat membabitkan perkilangan, tempat kerja (lima), institusi pendidikan (10) serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan. 

Dalam pada itu, beliau berkata, selain Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang telah memulakan PICKids khas kepada golongan kanak-kanak komorbid, lima pusat pemberian vaksin (PPV) PICKids lagi bakal beroperasi di kelima-lima daerah negeri ini. 

Tambahnya, lokasi PPV PICKids itu adalah di Tapak Pesta Sungai Nibong bagi Daerah Timur Laut pada 12 Februari; dewan pusat membeli-belah Sunshine, Bayan Baru (Daerah Barat Daya), Tapak Ekspo Seberang Jaya (Daerah Seberang Perai Tengah) dan Dewan MPKK Bandar Cassia (Seberang Perai Selatan) masing-masing pada 14 Februari ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya