PTPTN laksana kempen Click, Pay & Earn 2022 - Utusan Malaysia

PTPTN laksana kempen Click, Pay & Earn 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekali lagi menjalin kerjasama strategik bersama Shopee, BESTPay dan SpayGlobal (SarawakPay) melalui pelaksanaan Kempen Click, Pay & Earn 2022.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen ini diperkenal bertujuan menggalak dan memudahkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman secara dalam talian melalui saluran bayaran balik.

Selain itu, katanya, kempen itu adalah salah satu usaha bagi menghargai peminjam PTPTN yang komited membayar balik pinjaman pendidikan mereka walaupun dalam situasi ekonomi yang mencabar.

“Kempen Click, Pay & Earn 2022 ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman menggunakan aplikasi ShopeePay, BESTPay dan SpayGlobal (SarawakPay) dalam tempoh kempen iaitu bermula pada 8 Februari 2022 sehingga 30 April 2022.

“Peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik dengan nilai minimum mengikut saluran dalam tempoh kempen untuk melayakkan peminjam mendapat ganjaran yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan.

Melalui ShopeePay, individu yang membuat bayaran balik pinjaman minimum RM100 dalam satu transaksi akan menerima baucar diskaun RM5 kepada pengguna aplikasi Shopee tertakluk kepada 30 pengguna terawal setiap hari bagi bayaran pinjaman dalam tempoh kempen.

Jika bayaran balik pinjaman dibuat menerusi BESTPay dengan minimum RM100 dalam satu transaksi, individu menerima lima kredit BP kepada 30 pengguna terawal yang membuat bayaran balik pinjaman semasa slot BESTPay satu jam Happy Hour yang berlangsung secara rawak antara pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari sepanjang tempoh kempen.

Bagi pengguna Sarawak, jika bayaran balik pinjaman dibuat menerusi SpayGlobal (Sarawak Pay) dengan minimum RM10 dalam satu transaksi, individu menerima RM2 baucar kepada 100 pengguna terawal setiap bulan bagi bayaran balik pinjaman dalam tempoh kempen.

Jelas Ahmad Dasuki, jalinan kerjasama antara PTPTN dan rakan strategik adalah sejak tahun lalu lagi dalam usaha menggalakkan pelanggan PTPTN menggunakan transaksi tanpa tunai serta sebagai pemudah cara bagi membantu peminjam PTPTN membuat bayaran secara dalam talian.

Katanya, kerjasama itu juga menunjukkan komitmen dan kesungguhan PTPTN dalam memperkasa agenda pendigitalan serta memastikan peminjam PTPTN dapat melaksanakan bayaran balik dengan mudah, cepat dan selamat secara dalam talian di kala pandemik Covid-19 masih lagi melanda negara.

“PTPTN mengadakan kerjasama strategik bersama rakan e-wallet untuk menarik minat peminjam membuat bayaran balik dan pada masa yang sama berpeluang mendapat ganjaran yang ditawarkan dalam tempoh kempen.

“Ini juga adalah sebagai salah satu usaha membudayakan kaedah pembayaran secara digital di kalangan pelanggan PTPTN,” katanya.

Justeru, beliau berharap dengan pelaksanaan kempen ini akan menjadi pemudah cara kepada peminjam PTPTN dan secara tidak langsung menggalakkan pembayaran balik pinjaman serta memperkasakan perkhidmatan PTPTN ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan selaras dengan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025.

“Sesungguhnya bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh para peminjam amat bermakna dan penting demi kelestarian pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my mengenai kempen Click, Pay & Earn 2022. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya