PARIS : Selain mahu melakar kemenangan, Paris Saint-Germain (PSG) turut mempunyai misi ‘membuka mata’ Kylian Mbappe untuk keka di Paris berbanding berpindah ke ibu kota Sepanyol menjelang aksi berdepan Real Madrid bagi saingan Liga Juara-Juara awal pagi esok ini.
Kontrak penyerang berusia 23 tahun itu akan tamat pada Jun, lima tahun selepas dia menyertai mereka dari Monaco dengan perjanjian bernilai 180 juta Euro (RM855 juta).
Difahamkan PSG menolak beberapa tawaran daripada Real Madrid pada Ogos lalu bagi mengekalkan Mbappe untuk sekurang-kurangnya semusim lagi dan menggandingkannya di barisan serangan bersama Lionel Messi dan Neymar.
Ia membuktikan wang bukan objektif utama bagi kelab pemilik Qatar itu namun tawaran tinggi ditawarkan PSG juga masih tidak mampu meyakinkan Mbappe untuk kekal di Parc des Princes.
Pemburuan Real terhadap bintang Perancis itu bermula sejak zaman remajanya dan mereka menjemput dia dan ibu bapanya dalam satu perlawanan di Santiago Bernabeu malah berpeluang bertemu Zinedine Zidane di gelanggang latihan mereka.
Dia memilih untuk menandatangani kontrak bersama Monaco kemudian menyertai PSG pada 2017 sekalipun tetap dikaitkan dengan perpindahan ke Real.
Mbappe menjadi penjaring terbanyak di Ligue 1 dalam tempoh tiga musim lalu dan sekalipun persaingan daripada Messi, dia masih kekal sebagai pemain PSG paling menyerlah pada kempen musim ini.
Jumaat lalu, dia meledak gol kemenangan berdepan Rennes untuk mencatat 21 gol musim ini, lebih daripada dihasilkan gabungan Messi, Neymar, Angel Di Maria dan Mauro Icardi.
“Dia sudah pun diiktiraf antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak PSG. Sudah tentu saya juga berusaha untuk memujuknya kekal bersama pasukan,” kata kapten pasukan, Marquinhos.