PRN Johor: Tiada perancangan debat terbuka di stesen TV kerajaan

PRN Johor: Tiada perancangan debat terbuka di stesen TV kerajaan

ANNUAR Musa (berdiri, bertopi) melihat maklumat yang dipaparkan di Pusat Media PRN Johor di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia belum bersedia mengadakan debat secara terbuka di saluran televisyen milik kerajaan melibatkan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Namun, Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan itu sekiranya ia sesuai untuk dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Menurut beliau, hal itu kerana PRN Johor adalah isu peringkat negeri manakala saluran televisyen milik kerajaan adalah peringkat nasional.

“Saya tahu banyak negara luar menayangkan sesi debat terbuka, seperti Amerika Syarikat misalnya, namun perdebatan itu hanya melibatkan dua pihak sahaja.

“Di PRN Johor ini, ada tempat sehingga tujuh dan enam penjuru, jadi jika debat terbuka diadakan ia akan melibatkan siapa dengan siapa, kita tidak mahu pilih kasih,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Media PRN Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, saluran media kerajaan sama ada televisyen mahupun radio akan membantu menyebarkan maklumat berkenaan calon-calon yang bertanding seberapa banyak mungkin.

“Kita mahu beri peluang kepada rakyat khususnya pengundi mereka untuk mengenali calon di kawasan masing-masing, tetapi ini bukan bermaksud memberi kebenaran untuk berkempen, sebaliknya hanya perkenal calon.

SEBAR MAKLUMAT

“Saya percaya sebagai media milik kerajaan, kita perlu bersifat neutral dan hanya menyebarkan maklumat berkaitan dasar dan aktiviti-aktiviti kerajaan, bukan sebaliknya,” jelasnya.

Dalam pada itu, parti dan calon-calon yang bertanding dinasihatkan untuk mengatur jadual pergerakan berkempen bagi memudahkan petugas media yang mahu membuat liputan.

Annuar berkata, aturan pergerakan itu termasuklah menyediakan lokasi bersesuaian yang patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk sesi sidang akhbar.

Menurut beliau, langkah itu perlu diambil bagi memastikan tiada mana-mana pihak sama ada calon, penyokong dan juga petugas media melakukan kesalahan pelanggaran SOP.

“Kita mengharap kerjasama daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihak berwajib serta parti-parti politik yang bertanding untuk membantu kelancaran petugas media sepanjang tempoh PRN Johor ini. 

“Perdana Menteri pun kena kompaun, menteri yang bertanggungjawab dalam soal ini pun dikompaun, jadi petugas media tidak terkecuali, sebaliknya mereka perlu anggap tindakan kompaun sebagai satu peringatan agar lebih berhati-hati ketika bertugas,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya