PUTRAJAYA: Sebuah premis yang menyimpan bahagian haiwan liar diserbu pasukan penguatkuasaan dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Menurut hantaran agensi berkenaan menerusi laman sosialnya, ia hasil pemeriksaan secara mengejut di premis yang terletak di ibu kota itu pada cuti Tahun Baharu Cina, minggu lalu.
“Perhilitan bertindak merampas anggota hidupan liar disyaki kepala rusa, kulit harimau dan kulit beruang yang dimiliki tanpa dokumen penyimpanan Perhilitan,” katanya.
Satu laporan kemudian dibuat di sebuah balai polis berhampiran dan kesemua barangan yang dirampas tersebut turut dibawa ke pejabat Perhilitan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ia bagaimanapun tidak pula menyatakan dengan lebih terperinci mengenai sama ada berlaku tangkapan dan butiran latar belakang suspek kes berkenaan untuk proses pendakwaan.
Kes terbabit bakal disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah, pelakunya boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE