PPNM agensi pantau pembinaan rumah mampu milik  - Utusan Malaysia

PPNM agensi pantau pembinaan rumah mampu milik 

ISMAIL Abdul Muttalib (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan pasca banjir di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Perbadanan Perumahan Negara Malaysia (PPNM) ditubuhkan sebagai agensi tunggal melaksanakan projek rumah mampu milik di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib berkata, agensi tunggal tersebut membabitkan keanggotaan wakil agensi kerajaan yang berkepentingan.

Menurutnya, sebuah perbadanan dilihat perlu pada ketika ini bagi meningkatkan keseragaman dan kecekapan pelaksanaan projek rumah untuk rakyat.

“Cadangan itu dikemukakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Keluarga Malaysia (MPMMKM) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khamis lalu, ” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan pasca banjir kepada 1,226 ketua isi rumah (KIR) dalam kawasan Parlimen Maran di Dewan Arena Chenor hari ini.

Menurut Ismail, buat masa ini terdapat 15 agensi kerajaan yang mempunyai polisi tersendiri dalam membina projek perumahan awam kos rendah (PAKR) dan projek perumahan rakyat (PPR).

Tambah beliau, berikutan setiap agensi mempunyai prosedur dan tatacara sendiri menyukarkan pemantauan dan penyelarasan dilakukan dengan cekap.

Menurut beliau, berdasarkan alasan itu, Kabinet bersetuju mewujudkan PPNM.

“Sebagai contoh Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang membabitkan agensi Risda, Felda dan Felcra termasuk Mara ada skim projek rumah mampu milik. Ada 15 agensi terlibat yang ada polisi membina rumah mampu milik kepada keluarga yang layak dan terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan,’ katanya.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merasakan semua agensi di bawah Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang mempunyai program perumahan mampu milik duduk bersama dalam satu perbadanan khas. 

Tegasnya, ia bertujuan memudahkan pemantauan pelaksanaan setiap projek perumahan mampu milik yang dijalankan.

Beliau berkata, pengumuman kerajaan membina 500,000 unit rumah mampu milik melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah selaras agenda menjadikan Malaysia sebagai negara berdaya huni.

Katanya, susulan daripada itu itulah Perdana Menteri mengadakan mesyuarat MPMMKM, sebagai  platform untuk berbincang dan menyelaras proses pembinaan rumah mampu milik.

“Matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah akan tercapai lebih cekap dan efisyen dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga mengharapkan kerjasama daripada pemaju perumahan swasta dalam menjayakan projek perumahan mampu milik ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN