Polis kesan saksi langgar lari warga emas - Utusan Malaysia

Polis kesan saksi langgar lari warga emas

KEADAAN wanita warga emas yang terbaring selepas dilanggar lari apabila motosikalnya bergesel dengan sebuah Perodua Axia di Jalan Banting - Dengkil di Olak Lempit, Kuala Langat, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Polis sedang mengesan saksi kemalangan melibatkan seorang wanita warga emas yang parah dilanggar lari sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Banting – Dengkil di sini, Selasa lalu.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 70-an menunggang motosikal bersendirian dari arah Banting ke Olak Lempit.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, ketika kejadian motosikal ditunggangi wanita itu dipercayai bergesel dengan Axia berwarna perak yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.

“Ia kemudian mengakibatkan mangsa terjatuh ke lorong kiri jalan dan mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi  Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu, kemalangan itu tular dalam media sosial menerusi video dan gambar memaparkan wanita berkenaan cedera terbaring atas jalan sambil dipapah seorang lelaki dipercayai anak lelakinya.

Sehubungan itu, Ahmad Ridhwan memohon saksi bebas yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, kemalangan itu mengakibatkan mangsa patah tulang rusuk kiri dan sedang menjalani rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Ketika kejadian, ibu kepada dua anak itu dipercayai baru selesai membeli barangan di Pekan Banting dan sedang menuju pulang ke rumahnya di Kampung Labohan Dagang.

Ahli keluarga mangsa menerusi media sosial turut memohon si pelaku iaitu pemandu berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya