IPOH: Polis telah mengenal pasti kegiatan ajaran sesat yang dikesan berlaku di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, perkara itu dibincangkan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun katanya, sebarang butiran berkaitan perbincangan itu belum boleh didedahkan kerana siasatan kes masih dijalankan.
“Memang isu itu dibincangkan oleh pihak polis dan JAIPk tetapi kita tidak boleh dedahkan secara terperinci.
“Apa pun, kita memang telah kenal pasti satu kegiatan yang beroperasi di negeri ini yang mana ia didapati menyalahi akidah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menerusi laporan media semalam, JAIPk telah mengesan penyebaran ajaran meragukan oleh pihak tertentu di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, ajaran meragukan itu berselindung atas faktor ekonomi bagi mengembangkan pengaruh. – UTUSAN ONLINE