JOHOR BAHRU: Polis Johor memberi ingatan kepada semua parti politik di negeri ini untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani wabak Covid-19 ketika mengadakan pelbagai program baik di peringkat bahagian dan cawangan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menegaskan pihaknya akan membuat pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan pematuhan SOP berada di tahap terbaik.
Tegasnya, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana parti politik sekiranya didapati berlaku perlanggaran SOP yang memungkinkan berlakunya penularan Covid-19.
“Setakat ini, kita dapati masih belum terima maklumat berlakunya pelanggaran SOP di mana-mana majlis yang dianjurkan oleh parti politik di negeri ini.
“Mereka diingatkan sentiasa menekankan aspek keselamatan dan terus mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh Malaysia.
“Polis Johor tidak akan teragak-agak dan bertolak ansur kepada mana-mana parti politik yang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu, rata-rata parti politik kian rancak mengadakan pelbagai program baik di peringkat bahagian dan cawangan masing-masing.
Perkara ini mendapat perhatian pihak Polis Johor yang khuatir ada program yang dijalankan tidak mematuhi SOP PPN Fasa 4 bagi membendung penularan Covid-19.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu SOP untuk PRN Johor kini hampir selesai dan akan dibentang kepada pengurusan tertinggi kementerian dalam masa terdekat.
Khairy berkata, SOP untuk PRN Johor akan menyaksikan sedikit perbezaan berbanding apa yang dilakukan Melaka dan Sarawak dengan mengambil kira kewujudan varian baharu, Omicron.
Pada hari ini, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan adalah 9,117 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,904,131 kes.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan operasi-operasi pematuhan di seluruh negeri ini bagi memastikan orang ramai terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam usaha mencegah penularan jangkitan Covid-19 ini.
“Polis Johor akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi SOP PPN di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” tegasnya. – UTUSAN