Pokok hiasan limau kurang semasa Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Pokok hiasan limau kurang semasa Tahun Baharu Cina

SUNNY Quah (dua dari kiri) melayan pelanggan yang membeli kuih di kedainya di Teluk Intan, Perak sempena sambutan Tahun Baharu Cina. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini bukan sahaja dibayangi penularan pandemik Covid-19 tetapi kekurangan bekalan pokok limau hiasan untuk pelanggan.

Itu yang dialami peniaga pokok limau hiasan, kuih dan peralatan sembahyang di sini, Nursery Teck Kee Foodstuff Enterprise pada perayaan kali ini.

Pemilik perniagaan itu, Sunny Quah berkata, masyarakat Tionghoa lazimnya menghias rumah mereka dengan pelbagai jenis bunga terutama pokok limau hiasan yang berwarna terang semasa Tahun Baharu Cina sebagai lambang kelahiran.

Menurutnya, pokok limau hiasan antara hiasan penting dalam perayaan Tahun Baharu Cina kerana ia adalah lambang kegembiraan, tuah dan keceriaan.

“Saya mendapatkan bekalan pokok limau hiasan dari ladang di Tapah. Ladang itu mengimport pokok ini dari China. Namun pada perayaan kali ini, tidak banyak bekalan pokok limau hiasan yang saya dapat disebabkan pelbagai faktor seperti banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini baru-baru ini.

“Kalau ada pun, harganya agak mahal menyebabkan pelanggan memilih bunga lain seperti bunga kekwa dan orkid sebagai hiasan di rumah menjelang Tahun Baharu Cina,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, begitu pun tanpa pokok limau hiasan, sambutan perayaan kali ini tetap meriah.

Katanya, kemeriahan perayaan semakin dirasai menjelang majlis makan besar malam esok apabila kedainya dikunjungi pelanggan yang membeli pelbagai persiapan perayaan.

“Ramai pelanggan yang datang membeli pokok bunga hiasan, buah limau, kuih, biskut dan peralatan untuk sembahyang hari ini menjelang perayaan yang semakin hampir,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya