PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru rakyat belum mendapatkan vaksin Covid-19 untuk segera berbuat demikian.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu termasuk mendapatkan dos penggalak bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik Covid-19.
“Saya juga menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong meminta rakyat yang belum mendapatkan vaksinasi Covid-19 supaya segera berbuat demikian.
“Ini termasuk mendapatkan dos penggalak bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik Covid-19,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menyeru rakyat yang belum mendapatkan vaksinasi Covid-19 supaya berbuat demikian dan termasuklah mendapatkan dos penggalak bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik Covid-19.
Seri Paduka bertitah demikian bersempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara.
Dalam pada itu, Ismail Sabri merakamkan tahniah kepada 263 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat pada istiadat itu.
Menurut Perdana Menteri, beliau dan isteri menghadiri istiadat itu yang berlangsung di Istana Negara. – UTUSAN