PETALING JAYA: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor ditutup bermula 8 Februari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana (Nadma), Datuk Aminuddin Hassim berkata, penutupan tersebut berikutan kes membabitkan kategori tiga, empat dan lima menunjukkan angka penurunan mendadak.
Katanya, semua pesakit Covid-19 bagi kategori berkenaan dikuarantin di hospital yang ditentukan.
“Kemudahan di Maeps terlalu besar dan pesakit bagi kategori tiga, empat dan lima semakin berkurangan serta akan dikuarantin di hospital-hospital terpilih. Bagi kes kecil yang ringan pula dipantau melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
“Maka, penutupan ini dapat membantu menjimatkan kos dan tenaga kerja yang boleh kita tumpukan kepada rawatan kesihatan lain,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Aminuddin berharap Kerajaan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan membuka PKRC sendiri sepertimana di negeri lain.
Sebagai rekod, lebih 166, 000 pesakit Covid-19 ditempatkan di Maeps sepanjang hampir dua tahun penularan Covid-19 merebak ke negara ini.