SHAH ALAM: Selain Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong yang hampir pasti mengisi slot perseorangan lelaki pada Piala Thomas, Malaysia masih memiliki beberapa calon sesuai untuk di bawa ke Bangkok, Thailand, Mei ini.
Sama ada menyenaraikan pemain berpengalaman ataupun pemain muda, terpulang kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membuat keputusan akhir. Tetapi sememangnya terdapat beberapa calon yang boleh diberi tanggungjawab untuk kejohanan berpasukan itu.
Jika pemain muda menjadi pilihan, maka, BAM hanya perlu melihat senarai pemain yang berada di bawah naungannya. Ini seperti Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Kok Jin Hong ataupun Lim Chong King.
Namun, jika pengalaman yang mahu ditagih, apa salahnya menjenguk beberapa pemain profesional. Seperti Cheam June Wei yang kini menyertai Viktor Axelsen berlatih di Dubai dan pemain veteran, Liew Daren.
Ketika diajukan persoalan tentang perkara tersebut, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann berkata, masih terlalu awal untuk memperkatakan tentangnya, walaupun, mengakui mempunyai senarai nama yang mantap.
“Belum sampai masa untuk bercakap tentang hal ini, tapi macam mana pun kita memang ada satu barisan yang kuat.
“Mungkin kita akan menilai persembahan (pemain) selepas jelajah di Eropah nanti, di mana kita ada pengukuhan pada senarai pasukan, apa sahaja boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 berakhir, kelmarin. – UTUSAN