JASIN: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri mengambil tanggungjawab menyuntik vaksin Covid-19 kepada anaknya sendiri yang juga penghidap autisme bagi membuktikan suntikan itu selamat.
Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pemberian vaksin itu adalah sebagai galakan kepada ibu bapa yang masih khuatir untuk membenarkan anak-anak mengambil suntikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).
Beliau berkata, anaknya, Muhammad Ziyad, 7, juga merupakan penghidap autisme, namun perkara itu bukanlah alasan bagi pengecualian mengambil imunisasi itu.
“Saya juga risau seperti kebanyakan ibu bapa yang lain tetapi saya buat pembacaan mengenai kajian-kajian berfakta termasuk peratusan risiko komplikasi hanya 0.001 peratus daripada 8.7 juta kanak-kanak yang telah divaksin di Amerika Syarikat (AS). Jadi, hari ini saya buktikan dengan membawa anak sendiri, kalau nak minta ibu bapa lain benarkan anak mereka divaksin, saya rasa patut mulakannya dahulu,” katanya selepas memberikan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau di sini hari ini.
Turut hadir menemani adalah isterinya, Dr. Fatin Nadhirah Idrus.
Tambah Muhamad Akmal, kes direkodkan di AS itu membabitkan 11 kanak-kanak yang menghidap masalah radang jantung dan kesemua mereka sembuh sepenuhnya tanpa bantuan ubat-ubatan.
Sementara itu, seorang ibu, Zunita Yahya, 40, memberitahu, dia telah mendaftarkan ketiga-tiga anaknya berusia 9, 7 dan 11 untuk menerima suntikan vaksin melalui borang di sekolah.
“Ibu bapa tidak perlu risau, saya yakin vaksin ini selamat dan yang paling penting sekiranya mereka terkena jangkitan Covid-19, kesannya (komplikasi) kurang. Anak-anak kita bermain di sekolah, kita tidak tahu jika ada kawan-kawan mereka yang positif, jadi lebih baiklah kita memberikan mereka vaksin lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ibu dua anak, Hii Mei Ching, 47, pula berkata, dia berasa lega apabila kedua-dua anaknya berusia 8 dan 11 tahun telah menerima vaksin.
“Saya kerja di medan selera, berjumpa ramai orang, jadi saya risau kalau membawa jangkitan ke rumah dan anak-anak menjadi mangsa. Sekurangnya mereka telah divaksin dan antibodi lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN