GEORGETOWN: Seramai 530 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Pulau Pinang yang bermula Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, kesemua kanak-kanak berkenaan menerima vaksin tersebut di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).
“Setakat ini seramai 530 kanak-kanak iaitu 430 kanak-kanak dan Seberang Perai (100) telah menerima vaksin Covid-19.
“Selain itu, sebuah PPV Khas Paediatrics akan dibuka di Hospital Bukit Mertajam bermula Selasa depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Seramai 40,000 daripada 160,000 kanak-kanak berusia dari lima hingga 11 tahun telah didaftarkan untuk PICK Kids di Pulau Pinang.
PICK Kids Pulau Pinang bermula pada Isnin lalu dengan 10 kanak-kanak menjadi antara kanak-kanak terawal menerima vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, Norlela berkata, pihaknya masih berdepan cabaran untuk menyakinkan ibu bapa supaya bersetuju untuk mendapatkan vaksin bagi anak-anak mereka.
“Sehubungan itu, saya akan melaksanakan sesi libat urus secara dalam talian mengenai vaksinasi kanak-kanak pada pukul 3 petang, Jumaat depan.
“Sesi libat urus ini dijalankan bersama pentadbir kesihatan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 200 sekolah rendah bersama Jabatan Pendidikan negeri dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, setakat semalam terdapat 24 kluster aktif Covid-19 direkodkan di Pulau Pinang.
“Terdapat dua kluster baharu iaitu kluster Kampung Permatang Haji Hassan (Kolej Matrikulasi Pulau Pinang) di daerah Seberang Perai Utara dan kluster Tingkat Kampung Bukit (Asrama pekerja kilang Renesas Semikonduktor Msia Sdn. Bhd.) di daerah Barat Daya direkodkan,” katanya. – UTUSAN