Piala AFF bawah 23: Malaysia turun tempang pada aksi pertama

Piala AFF bawah 23: Malaysia turun tempang pada aksi pertama

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi amanat kepada pemain-pemain B-23 tahun negara sebelum berlepas ke Kemboja. baru-baru ini.- IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang akan beraksi di kejuaraan AFF  ditimpa malang berganda selepas seorang lagi pemain, Shafi Azswad Sapari terpaksa ‘direhatkan’ apabila didapati positif Covid-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja, semalam.

Pemain Johor Darul Ta’zim II (JDTII) itu yang dipanggil bagi menggantikan Fahmi Daniel Zaaim sebelum ini dijangkiti virus tersebut menerima nasib sama sekali gus menyaksikan skuad negara kehilangan khidmat dua pemain itu bagi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Situasi itu menyaksikan pengendalinya, Brad Maloney memiliki 27 pemain untuk diturunkan, namun dia optimis pemain yang ada ketika ini cukup untuk menggalas tugas bagi mengharungi kejohanan terbabit.

“Dia (Shafi) meninggalkan Kuala Lumpur secara negatif tetapi di Kemboja, dia didapati positif, jadi dia terus dibawa ke fasiliti kuarantin. Fahmi pula berada dalam keadaan yang baik dan tiada simptom selain berada dalam semangat yang tinggi.

“Sudah tentu ia sesuatu yang mengecewakan apabila kita tidak dapat menggunakan khidmat mereka. Jumlah pemain dalam skuad pun berkurangan tetapi kita perlu hadapi situasi ini,” kata Maloney.

Sekalipun berdepan situasi terbabit, Maloney mengesahkan tiada pemain baharu yang akan dipanggil sekalipun mereka terpaksa melupakan khidmat dua pemain yang positif Covid-19.

“Saya berpandangan sudah terlalu lambat (panggil pemain baharu) kerana hari ini adalah perlawanan pertama dan urusan pendaftaran sudah diselesaikan, kelmarin.

“Secara realistik dan atas faktor logistik, ia agak sukar, jadi kita akan meneruskan kerja dengan pemain yang kita ada dalam skuad ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Maloney menyifatkan Myanmar wajar dilihat sebagai pasukan pilihan berbanding anak buahnya.

“Sejujurnya, saya melihat Myanmar sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan B, mereka ada lebih kurang empat ke lima pemain yang pernah bermain pada Piala AFF Suzuki tahun lalu.

“Skuad Myanmar juga mempunyai beberapa orang pemain yang pernah bersaing dalam Sukan SEA 2019, manakala di pihak kita pula, inilah pentas antarabangsa mereka yang pertama,” katanya.

Meskipun tidak memiliki ‘kemewahan bakat’ seperti pasukan lawan, Maloney optimis untuk menjadikan platform ini sebagai debut terbaik bagi anak buahnya.

“Ya, ini adalah medan percubaan untuk semua pemain baharu. Kami akan mengharungi dua perlawanan pada peringkat awal, sudah tentu perlawanan kompetitif ini akan menjadi pengalaman berharga buat mereka,” katanya.

Maloney berkata, tujuannya untuk memberi peluang sebanyak mungkin kepada semua pemain muda merasai pengalaman beraksi di peringkat antrabangsa tercapai melalui Piala AFF Suzuki yang sudah tentu menjadi platform terbaik buat skuad Harimau Malaya B-23. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya