MELAKA: Petronas menyampaikan sumbangan kepada 3,040 buah keluarga yang terjejas akibat banjir di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan menerusi siri aktiviti pemulihan yang bermula sejak Disember tahun lalu.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, kerjasama berkenaan melibatkan unit dan anak syarikat kumpulan di Wilayah Selatan termasuk Yayasan Petronas, telah mengagihkan bantuan bekalan makanan, penjagaan kebersihan diri dan barangan bantuan lain bernilai RM343,000.
Menurut beliau, bantuan disalurkan melalui 10 pusat kawalan operasi bencana (PKOB) dan sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri tersebut.
“Yayasan Petronas telah membekalkan 1,800 keluarga dengan bekalan asas termasuk air mineral, selimut, biskut, ubat dan berus gigi, cecair pembasmi kuman, pelitup muka serta tisu pembasmi kuman. Usaha ini adalah sebahagian daripada Program Sentuhan Kasih Bantuan Bencana yang dilaksanakan di seluruh negara.
“Bahagian Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas bersama-sama Petronas Wilayah Selatan turut menyampaikan bantuan yang sama bagi membantu 900 buah keluarga di Melaka dan Johor melalui tiga PKOB iaitu Jasin, Muar dan Tangkak.
“Selain itu, Petronas Dagangan Berhad melalui pengusaha stesen minyak di Melaka dan Negeri Sembilan telah mengagihkan bekalan makanan, peralatan pembersihan, pakaian, bantal dan selimut kepada 300 buah keluarga yang berada di enam PPS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Sazli, sumbangan itu adalah sebahagian daripada komitmen Petronas berjumlah RM25 juta dalam usaha bantuan banjir untuk negara.
Katanya, Yayasan Petronas di bawah Program Sentuhan Kasih Bantuan Bencana akan bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan badan bukan kerajaan lain untuk mengenal pasti keperluan masa hadapan mangsa-mangsa banjir di Selatan dan juga di negeri lain.
“Kami berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga-keluarga yang terjejas supaya mereka dapat meneruskan aktiviti harian secepat mungkin.
“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sukarelawan yang telah membantu kami mendekati, seterusnya menyampaikan sumbangan kepada para mangsa banjir,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE