PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan peningkatan kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini sebanyak 415 kluster berbanding semalam, 410 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan penurunan kepada 11 kluster berbanding semalam, 20 kluster.
“Ia menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,586 kluster. Jumlah kluster tamat sebanyak 6,171 kluster berbanding semalam, 6,165 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merekodkan peningkatan 176 kes berbanding semalam, 155 kes.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan peningkatan iaitu 98 kes berbanding semalam, 80 kes. Malaysia mencatatkan sebanyak 22,802 kes positif yang terus menunjukkan peningkatan berbanding semalam, 20,939 kes sekali gus mengatasi 5,442 kes sembuh,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 104 kes bersamaan 0.46 peratus daripada 22,802 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, sebanyak 22,698 kes bersamaan 99.54 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat sebanyak 24 kes berbanding semalam, 10 kes. Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 32,099 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak sembilan daripada 24 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,483 kes. – UTUSAN