PETALING JAYA: Bakal diturunkan sebagai perseorangan pertama, Lee Zii Jia menjangkakan misi mengutip mata ke atas Singapura dalam aksi pembukaan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Rabu ini tidak mudah kerana ia melibatkan pertembungan ‘reputasi’ menentang juara dunia, Loh Kean Yew.
Kata juara All England itu, turun dengan reputasi besar, Kean Yew pasti tidak rela tumbang, malah peningkatan prestasi yang dipamerkan pemain No. 12 dunia tersebut menjadi cabaran terbesar buatnya di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
“Perlawanan dengan Kean Yew sangat penting untuk saya, malah saya yakin pertemuan itu juga penting buatnya kerana dia pasti mahu mempertahankan reputasi sebagai juara dunia.
“Memang berat cabaran di gelanggang, namun semasa saya buat keputusan keluar (dari skuad kebangsaan) dulu, saya telah bersedia dengan cabaran yang lebih besar, malah saya juga sudah bersedia untuk ambil tanggungjawab ini,” kata Zii Jia.
Zii Jia mengalahkan Kean Yew dalam dua pertemuan pertama mereka di Thailand 2016 dan Terbuka China 2019, tetapi kalah kepada pemain kelahiran Pulau Pinang itu pada Terbuka Perancis tahun lalu, sebelum menarik diri ketika kedua-duanya bertemu di Jerman, Julai lalu.
GERGASI
Selain Singapura, Malaysia akan turun menentang Kazakhstan (Khamis) dan gergasi badminton dunia, Jepun pada Jumaat.
Mengenai persiapannya menghadapi BATC, Zii Jia berkata, selepas meninggalkan skuad kebangsaan tiga minggu lalu, dia mengambil rehat beberapa dan pulang ke Alor Setar untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga sebelum kembali menjalani latihan minggu lalu.
“Minggu lalu baru saya benar-benar berlatih sampai hari ini. Keadaan (fizikal) saya tidaklah teruk, ia boleh dikatakan okey.
“Saya bukan mahu memberi tekanan kepada diri sendiri tetapi saya rasa, saya perlu memberi persembahan terbaik kerana kebanyakan pasukan menghantar barisan kedua, jadi sasaran kita adalah muncul juara tidak kira di bawah tekanan atau tidak.
“Kalau tidak muncul juara sekalipun, kami perlu mara sekurang-kurangnya ke final, selain daripada final adalah kegagalan,” katanya.
Selain Zii Jia, cabaran perseorangan negara akan turut digalas Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Hao, Lim Chong King dan Kok Jing Hong.
Dalam beregu pula, Malaysia diperkuatkan oleh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Cheah-Soh Wooi Yik, selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun. – UTUSAN