TELUK INTAN: Kemeriahan Tahun Baharu Cina tahun ini kurang dirasai apabila tempahan mengadakan persembahan tarian naga dan singa berkurangan.
Pengerusi Persatuan Tarian Singa Hong De, Lim Beng Hooi berkata, kekurangan tempahan dirasai sejak wabak Covid-19 melanda negara menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurutnya, dia menjangkakan setelah pergerakan rentas negeri dan daerah dibenarkan pada perayaan kali ini, tempahan mengadakan tempahan tarian tradisional masyarakat Tionghoa itu meningkat semula.
“Namun saya kecewa kerana tempahan mengadakan persembahan tarian naga dan singa pada perayaan kali ini tidak sepertimana ketika sebelum PKP.
“Biasanya sebelum perayaan kami menerima sehingga 50 tempahan untuk mengadakan pertunjukan tarian ini tetapi kali ini antara 13 hingga 15 tempahan sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Katanya, sebelum ini persatuan itu boleh meraih pendapatan sehingga RM20,000 setiap kali musim perayaan menerusi persembahan tarian naga dan singa.
“Bagaimanapun aktiviti persatuan dibekukan setelah PKP dilaksanakan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan demi kesihatan awam.
“Keadaan itu berterusan walaupun sambutan perayaan kali ini dibenarkan setelah dua tahun tidak mengadakan persembahan pada Tahun Baharu Cina,” katanya.
Menurutnya, kekurangan tempahan mengadakan persembahan menyebabkan kewangan persatuan terjejas dan hanya dapat menjelaskan bayaran sewa barang dan upah ahli yang mengadakan persembahan.
Katanya, selain itu persatuan juga kekurangan tenaga atau murid untuk mengadakan persembahan memandangkan ada antara mereka yang dijangkiti Covid-19 sebelum ini.
“Ini menyebabkan mereka tidak dapat menjalani tarian atau aktif dalam persembahan selain ada juga pelajar yang pergi ke tempat lain,” katanya.
Menurutnya, walaupun kurang tempahan, mereka tetap bersemangat membuat persembahan dalam perayaan tahun ini. – UTUSAN ONLINE