PETALING JAYA: Persaingan di antara semua pasukan dalam kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 dilihat agak seimbang bagi merebut tempat di dalam skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan, Abdul Talib Ahmad berkata pemilihan pemain untuk dibawa ke Sukan SEA dan Sukan Asia akan diputuskan berdasarkan prestasi semasa sepanjang kejohanan STL berlangsung.
“Tahun ini kita ada dua kejohanan besar iaitu Sukan SEA dan Sukan Asia, saya rasa perancangan untuk memilih pemain untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan adalah berdasarkan prestasi semasa pemain di STL.
“Saya melihat persaingan di antara semua pasukan yang bertanding dalam STL musim ini agak seimbang tidak kira sama ada pasukan tercorot, semua pasukan mampu membuat kejutan.
“Kalau kita lihat rekod perlawanan, banyak perlawanan yang berlangsung sehingga ke ‘tie break’ dan dari segi pertahanan juga saya melihat ada peningkatan daripada musim sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Talib berkata, dua pemain senior iaitu Zulkifli Abdul Razak dan Syahir Rosdi berada di dalam senarai skuad kebangsaan dan turut mengingatkan semua pemain muda untuk mempamerkan aksi yang lebih baik selepas ini.
“Saya lihat, sudah ada pemain muda yang mampu mengalahkan pemain senior tetapi saya rasa ada kemungkinan dari segi pengalaman itu yang meninggalkan mereka sedikit.
“Saya turut mengingatkan pemain muda supaya menunjukkan lebih lagi prestasi terbaik untuk mendapat tempat di dalam skuad kebangsaan nanti,” ujarnya.