Perkembangan ekonomi Malaysia terus positif

Perkembangan ekonomi Malaysia terus positif

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 3.6 perarus pada suku keempat 2021 (S4 2021), berbanding penguncupan sebanyak 3.4 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkembangan ini jelas menunjukkan Malaysia di landasan yang betul dengan pertumbuhan KDNK bulanan kembali positif sepanjang S4 2021 walaupun berhadapan dengan ancaman varian Omicron serta bencana banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri lain pada Disember tahun lalu.

Katanya, momentum pemulihan KDNK terus mencatat pertumbuhan sebanyak 2.6 peratus pada Disember lepas  susulan pertumbuhan yang memberangsangkan pada  November sebanyak 5.4 peratus, dan 2.7 peratus pada Oktober 2021. 

“Pertumbuhan ini mencerminkan penambahbaikan momentum pemulihan ekonomi negara yang akan diperkukuh dengan pemberian dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), serta peralihan seluruh negara ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. 

“Secara keseluruhan, tanda-tanda pemulihan ekonomi jelas kelihatan melalui prestasi KDNK Malaysia bagi tahun 2021 dengan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tengku Zafrul berkata, prestasi ekonomi S4 2021 yang memberangsangkan disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.2 peratus dan nilai jualan sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 15.5 peratus pada bulan Disember. 

“Perdagangan luar negeri mencatat rekod tertinggi sepanjang suku keempat, yang mana jumlah dagangan negara pada 2021 melebihi paras RM2 trilion dengan peningkatan tahunan sebanyak 24.8 peratus iaitu pertumbuhan tertinggi sejak 1994 susulan pertumbuhan ini disumbang oleh aktiviti ekonomi global yang kukuh, khususnya dalam kalangan rakan dagang utama negara.

“Selain itu, pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM24.7 bilion pada S4 2021, menjadikan jumlah FDI tahun 2021 melebihi RM50 bilion (2020: RM14.6 bilion), iaitu lebih tinggi daripada tahun-tahun prapandemik,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan positif ini melibatkan dari segi pasaran kewangan Malaysia, iaitu sistem perbankan adalah kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai mencatat 154 peratus pada Disember 2021 manakala nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih pula kekal stabil pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus.

Katanya, rizab antarabangsa Malaysia kekal tinggi pada akhir Disember 2021 dengan jumlah  sebanyak USD116.9 bilion, mencukupi untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek 

“Selain itu, pinjaman terkumpul kepada perniagaan berkembang sebanyak 4.8 peratus pada S4 2021 (S32021: 2.4 peratus), disokong oleh pertumbuhan pembiayaan modal kerja yang kekal tinggi susulan pengembangan ini dipacu oleh sektor perdagangan borong dan runcit serta sektor pembuatan sejajar dengan peningkatan semula aktiviti ekonomi.

“Dari sudut pasaran modal pula, FBMKLCI meningkat sebanyak 1.9 peratus pada S4 2021 dengan pelabur runcit tempatan menyumbang RM12.2 bilion dalam pelaburan bersih manakala segmen unit amanah menerusi Nilai Aset Bersih berkembang sebanyak 1.4 peratus kepada RM526.9 bilion pada akhir Disember 2021 yang diikuti, pelabur asing mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM0.6 bilion dalam tempoh S4 2021,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya