MELAKA: Kehadiran babi hutan yang sering mengganggu penduduk di Melaka sebenarnya semakin berkurangan, hasil daripada operasi berterusan dijalankan sejak dua tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Firdaus Mahmood berkata, sebanyak 1,240 ekor haiwan tersebut dihapuskan pada 2020 manakala sejumlah 1,287 pula pada tahun lalu.
Menurutnya, daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 582 ekor pada 2020 dan 515 ekor pula pada 2021.
Beliau berkata, daerah lain yang terlibat ialah Jasin sebanyak 426 ekor (2020) dan 229 ekor (2021) manakala Alor Gajah pula mencatatkan sebanyak 232 ekor pada (2020) dan 543 ekor (2021).
“Sebenarnya, jumlah kehadiran binatang liar ini di semua daerah di negeri ini semakin berkurangan berikutan operasi yang kita laksanakan sepanjang tahun, sejak Januari hingga Disember bermula dari tahun 2020 dan 2021.
“Kebanyakkan haiwan ini yang muncul mengganggu penduduk serta memusnahkan tanaman adalah saki baki yang tinggal di hutan.
“Pasukan pemusnah babi hutan daripada Perhilitan kerap membuat pemantauan dan rondaan kerana itu adalah rutin harian yang dilaksanakan.
“Jika kita menerima aduan haiwan ini mengganggu penduduk, pasukan pemusnah akan kita hantar untuk menjejaki dan menghapuskan binatang liar ini, jika gagal kita akan pasang perangkap,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mohd. Firdaus turut menasihatkan penduduk agar tidak membuang sisa makanan di luar rumah kerana ia menarik minat binatang tersebut yang keluar mencari makanan.
Katanya, jika tiada sisa makanan, babi hutan akan terus berada di habitat asalnya iaitu di kawasan hutan belukar.
Ditanya usaha Perhilitan memusnahkan haiwan itu yang mengganggu penduduk Kampung Kelongkong dan Kampung
Balik Bukit di Tanjung Kling, beliau berkata, usaha untuk memusnahkannya masih menemui jalan buntu.
“Haiwan yang muncul itu adalah saki baki apabila sejumlah 48 ekor telah dimusnahkan di sekitar Tanjung Kling tahun lalu,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE