IPOH: Perak menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu haiwan ternakan yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan jalan raya.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, mesyuarat pertama bagi membincangkan mengenai jawatankuasa berkenaan akan diadakan pada 7 Februari ini.
Menurutnya, mesyuarat exco sudah membuat keputusan menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria.
“Pelbagai cara dan pendekatan sudah diambil kerajaan negeri sama ada dari segi penguatkuasaan, perbincangan bersama pemilik kerbau dan haiwan ternakan termasuk bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat lokasi tumpuan pelancong, Concubine Lane di sini hari ini.
Menurut Nolee Ashilin, haiwan ternakan berkeliaran sudah menjadi isu sejak dulu lagi.
Namun, kata beliau, masih berlaku kemalangan yang berpunca daripada haiwan ternakan yang berkeliaran sehingga menyebabkan kematian.
“Jawatankuasa khas itu akan melihat apa tindakan yang sesuai bagi mengurangkan insiden itu,” katanya.
Nolee Ashilin berkata, pihaknya juga mencari jalan mengatasi masalah utama dalam mengenalpasti pemilik sebenar haiwan ternakan.
Katanya, disamping pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan insiden melanggar haiwan berkeliaran tidak berlaku, pemilik haiwan ternakan perlu memainkan peranan.
“Pemilik haiwan ternakan perlu memainkan peranan sebenar dan bertanggungjawab terhadap ternakan mereka bagi memastikan haiwan mereka tidak mengganggu kesejahteraan awam.
Beliau berkata, di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tindakan dan penguatkuasaan berkaitan perkara ini boleh dirujuk mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau (Majlis Bandaraya Ipoh) 2014.
Kata beliau, melalui Undang-Undang Kecil juga pemilik haiwan ternakan juga boleh ditahan dan dikenakan kompaun.
“Kita memang boleh mengambil tindakan tetapi malangnya selalu apabila kemalangan berlaku, kita tidak tahu siapa pemiliknya.
“Ketika ini tiada lagi cara khusus untuk mengenalpasti pemilik sebenar kepada haiwan ternakan yang berkeliaran, jadi perkara ini harus kita perhalusi dengan kerjasama pelbagai agensi,” katanya.
Semalam, Seorang wanita maut setelah kereta dipandunya melanggar seekor kerbau di Jalan Perindustrian Pengkalan 2, di Batu Gajah. – UTUSAN ONLINE