IPOH: Perak tidak sewenang-wenangnya meluluskan sebarang aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan Hutan Simpan (HS) di negeri ini jika ia memberi kesan negatif kepada rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengulas bantahan Sahabat Alam Malaysia (SAM) terhadap cadangan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di Hutan Simpan Kenderong, mukim Kerunai, Gerik, berkata, aktiviti pembalakan dan perlombongan juga perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurutnya, JAS akan menilai laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) sebelum sesuatu projek diteruskan.
“Kerajaan negeri mengambil maklum semua pandangan berkaitan isu tersebut termasuk SAM. Kita menghormati pandangan SAM. Saya juga akan mendapatkan maklumat khusus mengenai perkara ini daripada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc). Bukan senang untuk melaksanakan operasi perlombongan. Jika lesen dikeluarkan, mereka perlu mendapatkan EIA,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Program Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Laman Seri Ridzuan, di sini hari ini.
Saarani berkata, kelulusan tidak diberikan jika kawasan itu merupakan sensitif alam sekitar.
Beliau berkata, ketika ini juga sedang dilaksanakan sesi pendengaran awam mengenai prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
“Perbincangan juga akan dilakukan bersama Jabatan Perhutanan Perak bagi mengetahui status HS berkenaan sama ada HS pengeluaran atau hutan simpan kekal,” katanya.
Mengenai dakwaan SAM bahawa aktiviti tersebut akan mencemarkan air seperti yang berlaku pada tahun 2019 di loji air Ganda, Saarani berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara tersebut.
Semalam, dalam satu kenyataan, SAM membantah cadangan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di Hutan Simpan Kenderong Gerik kerana dibimbangi mencemarkan sumber air Sungai Perak.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, kawasan hutan seluas 245 hektar telah dinyahwartakan dari Hutan Simpan Kenderong untuk tujuan pelaksanaan projek tersebut yang dicadangkan oleh sebuah syarikat perlombongan.
Menurutnya, berdasarkan laporan oleh JAS, tapak cadangan projek merupakan kawasan berbukit berketinggian 320 hingga 450 meter melebihi paras laut yang juga merupakan kawasan tadahan air dengan terdapat beberapa anak sungai berdekatan dengan tapak projek mengalir ke dalam Sungai Perak.
Sementara itu, Saarani berkata, Perak akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membantu menyelesaikan sebarang masalah berkaitan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) terutamanya yang terjejas akibat Covid-19. – UTUSAN