Perahu naga kembali 'berlumba' - Utusan Malaysia

Perahu naga kembali ‘berlumba’

PESERTA bersaing bagi merebut gelaran Raja Sungai dalam Festival Perahu Naga 2022 di Kampung Tanjung Sabtu, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Suasana di Dataran Kampung Tanjung Sabtu di sini, bagaikan pesta apabila tradisi lumba perahu tradisional yang bermula lebih 40 tahun lalu, kembali dihidupkan.

Program cetusan idea penduduk kampung bersama Kelab Belia Kampung Lubuk Aji dan Kelab Croc Paddle itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada generasi muda, malah menggamit nostalgia golongan warga emas.

Pengarah program, Ahmad Azfar Ali berkata, perlumbaan dua hari bermula Jumaat lalu itu disertai 11 pasukan dengan lapan daripadanya adalah dari Kampung Buluh Gading, Banggol Peradong, Jeram, Tanjung Sabtu, Petai Bubus, Lubuk Aji, Cherang Sepulau dan Paya Datu yang berentap untuk merebut gelaran Raja Sungai.

Katanya, kali terakhir penduduk menyertai kejohanan seumpama itu adalah 10 tahun lalu dan inisiatif berkenaan secara tidak langsung dapat menyuburkan kembali tradisi yang bermula sejak 1980-an lagi.

“Walaupun perlumbaan kali ini melibatkan bot gentian kaca tetapi unsur tradisional masih dikekalkan dan kita terharu dengan sokongan diberikan peserta serta penonton.

“Rata-rata peserta berlatih selama dua bulan sejak tahun lepas, malah ada yang berhabis sehingga RM3,000 untuk menyediakan bot,” katanya selepas Festival Perahu Naga semalam.

Dalam perlumbaan sejauh 500 meter di Sungai Nerus itu, gelaran Raja Sungai dimenangi Kampung Petai Bubus sekali gus membawa pulang wang RM1,500 berserta medal manakala Kampung Tanjung Sabtu pula di tempat kedua.

Seorang penduduk, Mohamad Ngah, 74, berkata, penganjuran aktiviti air berkenaan perlu diteruskan bagi memulihara warisan di samping memperkasakan lagi industri pelancongan berasaskan komuniti.

“Semasa perlumbaan perahu pada 1980, saya pernah menjadi jurumudi dan ketika itu, ramai pembesar istana turut serta bertanding,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya