PERMATANG PAUH: Penurunan jumlah pendaftaran dalam kalangan pelajar untuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak hampir dua tahun lalu gara-gara Covid-19 belum berada pada tahap membimbangkan.
Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Wahi Nordin berkata, walaupun agak rendah berbanding jumlah pendaftaran sebelum berlakunya pandemik berkenaan, rata-rata IPT tidak terjejas kerana tidak begitu jauh daripada kuota kemasukan awal yang ditetapkan sebelum ini.
“Sepanjang hampir dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, tawaran (kemasukan) oleh universiti-universiti masih banyak dan sentiasa ada. Cuma, ada dalam kalangan ibu bapa atau pelajar sendiri yang memilih tidak mendaftarkan diri ke universiti atas sebab-sebab tertentu walaupun menerima tawaran dan sebagainya.
‘Itu hak mereka dan kita tak boleh paksa,” katanya pada program Jom Masuk IPT atau JMIPT 2022 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam bersama Rektor UiTM Pulau Pinang, Prof. Dr. Salmiah Kasolang di universiti itu, di sini hari ini.
“Program yang dilaksanakan secara hibrid dan dalam talian melalui platform Facebook Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar (UPUOnline) buat pertama kalinya itu turut menggunakan Sistem Pengiraan Acara (ECS) yang dibangunkan sendiri UiTM Pulau Pinang untuk mengawal jumlah kehadiran pengunjung.
Dalam pada itu, Wahi berharap ibu bapa dan pelajar yang tinggal berdekatan mana-mana lokasi JMIPT tidak melepaskan peluang datang sendiri bagi mendapatkan maklumat lebih tepat mengenai IPT yang mengambil bahagian dalam program berkenaan. – UTUSAN ONLINE