Penternak diberi subsidi ayam 60 sen, telur 5 sen - Utusan Malaysia

Penternak diberi subsidi ayam 60 sen, telur 5 sen

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan pemberian subsidi ayam dan telur kepada penternak di seluruh negara untuk tempoh empat bulan sehingga 4 Jun ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM528.52 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pemberian subsidi itu melibatkan sebanyak 60 sen bagi setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 per kilogram

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju memberi subsidi sebanyak 5 sen bagi setiap biji untuk semua jenis kategori telur.

“Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

“Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari hingga 4 Jun ini iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

RONALD KIANDEE

Ronald berkata, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) juga akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh.

Katanya, ini bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan.

“Kementerian berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya