LUMUT: Persatuan Penternak Manjung merayu kerajaan segera melakukan sesuatu termasuk memberikan subsidi terhadap industri penternakan ayam yang kini beroperasi dalam keadaan kos melebihi harga jualan.
Pengerusinya, Tan Wooi Perng berkata, industri itu berisiko gulung tikar dalam tempoh dua bulan daripada sekarang jika kerajaan tidak melakukan sesuatu bagi membantu industri tersebut yang kini berhadapan kenaikan kos pengeluaran berterusan khususnya dedak atau makanan ayam.
“Kerajaan menetapkan harga ayam di ladang ialah RM5.60 sekilogram berkuat kuasa 5 Februari lalu sehingga 5 Jun depan sedangkan kos menternak ialah RM6.20 sekilogram dan jika diambil kira kos keseluruhan termasuk pinjaman bank, penyelenggaraan dan sebagainya, boleh mencecah RM6.60 sekilogram,” katanya dalam sidang akhbar di Ayer Tawar, dekat sini hari ini.
Menurut beliau, kenaikan kos menternak ayam sebahagian besar akibat peningkatan harga dedak yang meliputi 70 peratus daripada kos operasi industri itu iaitu daripada RM80 bagi satu beg seberat 50kg pada 2020, melonjak kepada antara RM120 hingga RM125 akhir tahun lalu bergantung pada kuantiti dan jenama.
Jelasnya, harga dedak kemudian meningkat antara RM1 dan RM2 setiap bulan sejak itu manakala harga ayam maksimum di ladang kekal RM5.60 sejak Disember lalu.
Justeru, beliau menyatakan jika kerajaan membantu memberi subsidi sama ada dalam bentuk subsidi dedak atau subsidi terus kepada penternak, sekurang-kurangnya memberi mereka peluang untuk ‘bernafas’ dalam mengeluarkan ayam segar kepada pengguna.
Katanya, penternak di daerah Manjung mengeluarkan kira-kira 10 juta ekor ayam sebulan iaitu kira-kira 17 peratus daripada pengeluaran ayam segar di Semenanjung.
“Pemberian subsidi daripada kerajaan kepada penternak ayam bukanlah perkara baharu kerana pernah dilakukan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
“Jika kerajaan enggan memberikan subsidi, pihaknya mencadangkan agar kerajaan tidak mengawal harga ayam di ladang sebaliknya ditentukan oleh kuasa pasaran,” katanya.
Jelas beliau, jika tiada bantuan kerajaan dalam tempoh terdekat, penternak mungkin terpaksa menghentikan operasi secara berperingkat yang meliputi kitaran 35 hari bagi setiap pengeluaran seekor ayam kerana mereka tidak mampu terus beroperasi dalam keadaan rugi setiap hari.
Sementara itu, ahli persatuan tersebut, Datuk Alex Ding Seng Huat berkata, industri itu kini berdepan masa yang sukar termasuk kekurangan pekerja yang secara tidak langsung meningkatkan lagi kos operasi.
Menurut beliau, penduduk tempatan tidak mahu bekerja antaranya disebabkan tidak tahan bau busuk manakala menghadapi kekangan mendapatkan pekerja asing disebabkan pandemik Covid-19.
“Pekerja asing sedia ada pula yang sebelum ini bergaji minimum RM1,200 kini menuntut gaji antara RM1,800 hingga RM2,500 sebulan dan mengancam akan bekerja di sektor lain jika permintaan itu tidak dipenuhi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, menyatakan kebimbangan industri penternakan ayam mengalami nasib seperti industri bijih timah yang terus pupus akibat tidak mampu menanggung kos operasi meningkat sedangkan harga jualan tidak berubah atau semakin menurun.
“Jika kerajaan boleh memberi subsidi bagi memastikan harga petrol Ron95 kekal rendah serta pelbagai bentuk subsidi daripada biji benih sehingga harga jualan beras untuk dinikmati pesawah, maka kerajaan juga boleh melakukan tindakan sama terhadap penternak ayam yang kini berdepan saat-saat sukar,” katanya. – UTUSAN ONLINE