Penghidap kanser pangkal rahim cekal jual kek

Penghidap kanser pangkal rahim cekal jual kek

NORLINA Saparon mendukung Nur Nafisa Raihana Jalaludin mempamerkan kek diusahakan di rumahnya untuk dijual di Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, Johor. – FOTO/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Meskipun masih dalam rawatan kanser, seorang wanita dari Felda Simpang Waha di sini, tetap me­nguatkan semangat menjual kek demi mencari rezeki buat keluarganya.

Norlina Saparon, 39, berkata, dia disahkan mempunyai kanser pangkal rahim pada 2019 selepas setengah tahun melahirkan anak keempatnya.

Katanya yang mengusahakan perniagaan kek Non Sweet Bakery, badannya ketika itu tidak menunjukkan sebarang tanda dia menghidap penyakit tersebut lalu mengabaikan na­sihat doktor yang memin­tanya membuang rahim.

“Saya sihat dan tak ada tanda-tanda sakit serta seperti orang yang ada kanser rahim. Tetapi rupanya keadaan menjadi lebih buruk bila saya tidak perasan sedang hamil anak kelima. Ketika itu ramai kata badan saya naik tapi saya fikir ia disebabkan faktor pemakanan.

“Namun bila buat pemeriksaan kehamilan saya sedang mengandung lima bulan. Ketika itu keadaan badan saya juga masih sihat seolah-olah tidak menghidap kanser itu. Doktor syorkan pilih sama ada gugurkan kandungan demi menyelamatkan nyawa saya, tetapi saya pilih untuk meneruskan kandungan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya, baru-baru ini.

Norlina berkata, doktor me­nasihatkan dia menjalani ra­watan kimoterapi jika mahu meneruskan kehamilan itu.

Malangnya selepas menjalani rawatan itu, kesihatannya merudum sehingga menyebabkan anaknya, Nur Nafisa Raihana Jalaluddin yang kini berusia lima bulan perlu dilahirkan ketika usia kandungan baru tujuh bulan dengan berat hanya 1.4 kilogram.

“Alhamdulillah anak selamat namun kerana keadaannya yang pramatang jadi dia perlu duduk di NICU selama 65 hari. Saya pula perlu sambung kimoterapi sebanyak lima kali dan radioterapi sebanyak 25 kali.

“Jadi setiap hari sepanjang Disember tahun lalu, suami, Jalaluddin Othman menghantar saya ulang alik ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan. Bila setiap hari perlu berulang alik duit simpanan juga makin susut. Pertengahan bulan itu juga suami ambil alih buat kek sambil saya bantu semampu yang boleh,” katanya.

Kini, selepas tidak sampai sebulan selesai menjalani rawatan itu, Norlina sudah mula kembali membuat kek sepenuh masa di rumah demi menyara keluarganya walaupun anak-anaknya risau melihat dia kembali aktif dan tidak berehat kerana bimbang akan kesihatan ibu mereka.

“Anak-anak adalah penguat semangat saya terutama anak bongsu ini, sepanjang sakit saya hanya fikir mati sahaja namun yang menjadikan saya kuat adalah si kecil itu.

“Suami sebelum ini menjual makanan di kedai makan yang dibuka di depan rumah namun bila saya tidak sihat dia tiada pembantu dan hanya fokus kepada buat kek pada waktu ini. Tambahan perusahaan kek ini dibuat sejak berkahwin 11 tahun lalu,” katanya.

Kini, Norlina sedang menunggu keputusan hasil rawatan pada bulan Februari sama ada sudah sembuh dari penyakit kanser itu atau sebaliknya.

Sementara itu, selain mengambil tempahan kek di sekitar Felda Waha, dia turut menerima permintaan dari kawasan lain termasuk gugusan Felda Lok Heng, Felda Aping dan Bandar Penawar.

Orang ramai yang mahu menempah boleh hubungi talian 014-279 9773. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya