SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan meminta semua pihak untuk akur berhubung ketetapan yang telah diambil berhubung Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) hendaklah melepaskan sebarang jawatan yang dipegang mereka di masjid dan surau di negeri ini.
Menyifatkan kewujudan JPKKP mempunyai agenda politik, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketetapan yang diambil itu bertujuan mengelakkan berlaku perpecahan dan perbalahan di masjid dan surau.
“Kerajaan negeri tidak mahu masjid dijadikan tempat perpecahan umat, ini paling penting. Kami putuskan supaya mereka mengambil salah satu, kalau mahu berpolitik, berpolitiklah, kalau nak, bersama di masjid, itu bagi saya lebih adil.
“Kena akur, harus ikut pentadbiran kerajaan negeri, kalau mereka tidak bersama kerajaan negeri, bagaimana untuk kita laksanakan arah tuju yang bersama, nanti tidak selesai masalah. Kena akur dan terima, kami dulu juga akur dan terima,” katanya.
Aminuddin berkata demikian kepada pemberita sewaktu sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini hari ini.
Sebelum ini tersebar surat bertarikh 28 Januari 2022 berhubung pemakluman jawatan lantikan kerajaan negeri yang berkepala surat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kepada bahagian pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri ini.
Surat tersebut memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 12 Januari lepas membuat ketetapan bahawa mana-mana jawatankuasa kariah masjid dan surau atau pegawai masjid dan surau yang ditawarkan sebagai Pengerusi JPKKP hendahlah melepaskan jawatan yang dipegangnya di dalam masjid dan surau tersebut atau menolak tawaran sebagai Pengerusi JPKKP.
Perkara tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang terutama dalam kalangan Pengerusi JPKKP terlibat dan ada dalam kalangan mereka yang mendesak supaya kerajaan negeri menyatakan alasan dan sebab kukuh atas ketetapan tersebut.
Sementara itu, Menteri Besar menambah, kerajaan negeri lebih bertoleransi dalam perkara tersebut kerana memberikan mereka yang terlibat untuk membuat pilihan sewajarnya dalam isu berkenaan.
“Kami tidak sampai pecat, kami hanya tawarkan mereka untuk pilih, itu sahaja, kalau nak ekstrem, dahulu mereka lebih ekstrem. Kami beri peluang juga, ada yang tidak sama dengan kami, jadi imam, ada jadi pengerusi, jadi pilihlah salah satu.
“Sebelum ini kami tiada halangan tetapi apabila mereka memegang jawatan, mereka kena bekerja untuk pastikan agenda mereka berjaya jadi saya tidak mahu mereka menjadikan itu untuk pecah belahkan umat di masjid,” katanya. – UTUSAN